7 Lokasi Menarik Di Malaysia Anda Wajib Ambil Gambar
Jika anda gemar mengambil gambar di tempat yang cantik, menarik dan unik, anda harus berkunjung ke lokasi-lokasi menarik di dalam negara ini.
Anda tidak perlu berjalan jauh kerana negara kita juga mempunyai banyak lokasi menarik yang bakal membuatkan anda bangga menjadi rakyat Malaysia.
1. Sky Mirror, Pantai Sasaran, Kuala Selangor
Kepada anda yang teringin untuk mengambil gambar seperti di Bolivia yang mempunyai salt flat, anda tidak perlu terbang ke sana kerana negara kita mempunyai “Sky Mirror” di pantai Sasaran, Kuala Selangor.
Pantai yang memantulkan bayang-bayang apabila anda berdiri di atas permukaan air itu menjadi tumpuan orang ramai untuk mengambil foto bersama yang tersayang malah ada yang membuat sesi wedding photoshoot di sana.
2. Desa Cattle Dairy Farm, Kundasang, Sabah
Sumber dari thegoodsonjourney.com
Teringin pergi ke New Zealand tetapi terlalu jauh dan mahal? Usah risau, anda boleh melancong ke Sabah dan nikmati pemandangan seperti berada di New Zealand walaupun anda masih berada di dalam Malaysia.
Dengan berlatar belakang lembu, gunung-ganang serta kabus tebal, Desa Cattle Dairy Farm dilihat seperti sebuah kawasan yang berada di luar negara.
3. The Pinnacles, Gunung Mulu National Park, Sarawak
Buat mereka yang gemar mendaki atau hikers kental, anda pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mendaki gunung serta bukit demi kepuasan diri serta hobi.
Gunung Mulu mempunyai satu tempat di mana terdapat banyak batu kapur tajam yang kelihatan menarik jika diambil gambar sebagai kenangan.
4. Masjid Kristal, Terengganu
Selain tempat awam yang anda boleh lawati, Masjid Kristal juga merupakan salah sebuah lokasi tumpuan pelancong kerana hampir keseluruhan struktur masjid ini dihiasi kaca yang memantulkan cahaya seperti kristal apabila cahaya matahari terik memancar ke arahnya. Cantik bukan?
5. Putrajaya
Selain mempunyai jambatan kereta yang cantik, terdapat banyak bangunan kerajaan yang mempunyai struktur binaan moden menarik perhatian kami.
Anda wajib mengambil gambar di hadapan bangunan kerajaan yang besar dan unik jika anda datang ke sana.
6. The Blue Mansion, Pulau Pinang
The Blue Mansion tidak asing lagi buat pelancong yang datang ke Pulau Pinang. Negeri yang dikenali sebagai kota warisan ini juga masih mengekalkan struktur bangunan-bangunan lama yang nampak klasik serta menarik.
Tidak hairan jika negeri Pulau Pinang menjadi tumpuan pelancong pada setiap masa. Jangan lupa cuba makan makanan tempatan seperti nasi kandar jika anda melancong ke sana.
7. Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur
Taman Tasik Perdana merupakan taman yang paling tua di Malaysia. Ia ditubuhkan pada tahun 1888 dan masih dibuka kepada orang awam sehingga ke hari ini.
Terdapat banyak landskap cantik menghiasi taman tasik ini malah ramai yang menjadikan tempat ini sebagai tempat untuk photoshoot serta beriadah bersama keluarga pada waktu petang.
Banyak lagi tempat-tempat menarik di dalam negara yang kita belum habis terokai. Bercuti di dalam negara sendiri amat berbaloi malah ia juga murah berbanding bercuti di luar negara.
Sumber : Vitdaily