Pastikan Bekalan Ubat-Ubatan Mencukupi Untuk Pulang Ke Kampung

Pulang Ke Kampung Bersama-sama Ubat-Ubatan

Minggu ini bermulalah warga kota pulang ke kampung untuk berhari raya. Ada dalam kalangan masyarakat kita yang merupakan pesakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, asthma, hypercholesterolemia, sakit jantung dan pelbagai lagi.

Penyakit kronik seperti ini memerlukan ubat-ubatan untuk mengawal penyakit tersebut. Maka kepatuhan ubat sangat penting. ubat perlu diambil setiap hari mengikut arahan yang telah diberikan. Maka tiada istilah cuti makan ubat sebab balik kampung beraya.

Oleh itu jangan lupa bawa bersama-sama ubat-ubatan pulang ke kampung. Walau bagaimanapun masyarakat perlu tahu beberapa nasihat penting berkaitan perjalanan jauh membawa ubat-ubatan agar ubat-ubatan kekal elok dan tidak rosak semasa dalam perjalanan pulang ke kampung.

Berikut adalah nasihat dan video untuk membantu pemahaman masyarakat berkaitan perkara ini:

1) Rancang perjalanan anda. Bawa ubat mencukupi bersama-sama pulang ke kampung.

2) Semak preskripsi agar ubat-ubatan yang dibawa adalah betul.

3) Simpan ubat anda di dalam bekas kedap udara.

4) Bawa preskripsi anda bersama-sama pulang ke kampung.

5) Untuk pesakit diabetes yag menggunakan insulin, insulin yang telah dimasukkan ke dalam pen insulin boleh bertahan selama 30hari pada suhu bilik.
•1 vial(tabung) insulin mengandungi 100unit insulin. Maka kira dos harian yang anda ambil dan pastikan ia mencukupi atau anda perlu bawa vial insulin tambahan semasa pulang ke kampung.
•Contoh perkiraan jumlah vial insulin yang perlu dibawa:
– Dos insulin yang perlu diambil setiap hari, contohnya :
Dos pagi 20unit dan dos malam 14unit. Jumlah dos
harian adalah 34unit.
– Anda ingin pulang ke kampung selama 7 hari, maka
jumlah dos yang diperlukan adalah 34unit x 7 = 238unit.
– Maka jumlah vial insulin yang diperlukan adalah
3vial. (3 vial insulin bersama 3 x 100unit = 300unit).
•Jika diambil kira contoh di atas maka perlu bawa vial insulin tambahan. Perlu diingatkan bahawa vial insulin tambahan ini perlu dibawa dalam simpanan suhu sejuk 2-8°C.
•Maka gunakan beg sejuk untuk membawa insulin tambahan ini semasa perjalanan pulang ke kampung.

6) Simpan semua ubat dalam bagasi tangan apabila pulang ke kampung dan simpan bagasi tangan berisi ubat ini di dalam kenderaan. Jauhkan daripada cahaya matahari dan suhu yang tinggi. Elakkan simpan dalam bonet bersama-sama bagasi pakaian yang lain.

7) Jika berhenti sementara di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) pastikan bagasi tangan yang mengandungi ubat tadi, dibawa keluar bersama-sama anda untuk mengelakkan suhu yang panas dalam kenderaan yang dipakirkan.

8) Setibanya di kampung, simpan ubat-ubatan anda jauh daripada penglihatan dan capaian kanak-kanak. Maklumlah semasa hari perayaan ini ramai yang akan pulang ke kampung bersama-sama kanak-kanak dan kanak-kanak mudah tertarik dengan ubat kerana mempunyai pelbagai bentuk dan warna.

9) Simpan ubat-ubatan anda berasingan daripada ubat-ubatan ahli keluarga yang lain yang turut sama-sama membawa ubat-ubatan mereka agar mengelakkan kekeliruan dan berlakunya kesilapan pengubatan.

10) Simpan semula vial insulin yang dibawa dalam bekas sejuk ke dalam peti sejuk. Simpan dalam satu bekas berasingan dan letakkan di ruang tengah peti sejuk (suhu stabil 2-8°C). Elakkan meletakkan vial insulin di pintu peti sejuk kerana perubahan suhu amat ketara jika di simpan di sana.

11) Nota tambahan: Elakkan menyimpan ubat-ubatan dalam kenderaan seperti menyimpan inhaler (ubat asma) dalam kenderaan (dalam gloves-compartments) kerana boleh terdedah pada suhu yang tinggi semasa kenderaan diletakkan di parkir terbuka. Ingat, suhu yang tinggi boleh merosakkan ubat.

Kembali ke Atas