5 Kawasan Pelancongan Popular Yang Sedang Tenat

 5 Kawasan Pelancongan Popular Yang Sedang Tenat

Apabila kita melancong ke sesebuah tempat atau negara lain, kita berasa teruja untuk mempelajari budaya mereka, mengumpul pengalaman dan menikmati tarikan-tarikan yang ada di situ. Di sebalik keghairahan kita, sebenarnya semakin banyak tempat dan destinasi pelancongan yang sudah muak dengan kedatangan pengunjung yang tidak tahu menghormati penduduk di sana mahupun menghormati alam sekitar. Kami kongsikan 5 lokasi terkenal yang dilaporkan semakin tenat akibat kebanjiran pelancong asing:

1. Great Barrier Reef, Australia

The Great Barrier Reef (Terumbu Sawar Besar) adalah salah satu ekosistem terbesar dan paling mengagumkan yang wujud di dunia. Apa yang menyedihkan, ia mungkin tidak akan mampu bertahan lama disebabkan aktiviti pelancongan pesat di situ.
Terumbu yang terletak di pantai timur Australia itu telah berjaya menarik pelancong dari seluruh dunia. Malangnya, para pelancong ini telah memusnahkan keadaan persekitaran dengan berjalan kaki di atas batuan karang yang rapuh, menurunkan sauh besar dan mencemarkan kawasan dengan bahan api dan bahan pencemar lain. Selain itu, kebanjiran pelancong juga telah memberikan impak yang besar kepada persekitaran terumbu ini.

Untuk melindungi kawasan terumbu indah ini, satu program perlindungan telah diwujudkan bagi memastikan langkah-langkah pengurusan sewajarnya diambil untuk pemuliharaan jangka panjang. (Sumber)

2. The Colosseum, Rome, Italy

Salah satu tapak bersejarah yang paling ikonik di dunia, Roman Colosseum dahulunya menjadi lokasi hiburan penduduk seperti perlawanan gladiator dan tapak pelaksanaan hukuman mati. Mercu tanda ini yang dibina sekitar 70-80 Masihi telah melalui proses pengubahsuaian dalam salah satu fasa projek pemulihan pertama yang siap pada tahun 2016.

Proses membaik pulih yang menelan belanja sehingga $30 juta itu dimulakan selepas menerima laporan yang bangunan itu semakin tenggelam dan semakin merosot. Ia juga telah dirosakkan dengan kegiatan vandalisme sepanjang tahun oleh orang yang tidak bertanggungjawab hingga memaksa pihak kerajaan menguatkuasakan denda melebihi $20,000 bagi sesiapa yang didapati bersalah membuat sebarang kerosakan di dinding bangunan bersejarah itu.

 

3. Iceland

 

Ini mungkin merupakan kesan “Game of Thrones” yang paling buruk sehingga menyebabkan ribuan pelancong sanggup berjalan jauh ke negara ini untuk melawat lokasi-lokasi penggambaran daripada drama bersiri popular tersebut.

Akibatnya, harga barang naik mendadak secara tiba-tiba dan telah menjejaskan ekosistem yang semakin rapuh. Jalan-jalan semula jadi dan infrastruktur ‘menderita’ kerana peningkatan trafik yang tinggi.

4. Tulum, Mexico

Tulum merupakan destinasi pelancongan yang terkenal dengan pemandangan laut dan pantai yang teramat cantik selain menjadi lokasi pilihan pengamal-pengamal yoga kerana suasana persekitaran yang tenang. Pekan dan pantai Tulum amat berbeza dengan bahagian-bahagian Mexico yang lain. Namun, baru-baru ini Tulum telah termasuk dalam senarai amaran perjalanan Jabatan Kerajaan Amerika Syarikat akibat peningkatan kes jenayah di situ.

Industri pelancongan yang berkembang juga telah memberikan kesan buruk kepada penduduk setempat. Semakin banyak hotel dan rumah penginapan yang akan didirikan di atas tanah yang dirampas oleh pihak kerajaan. Selain itu, pembangunan pesat itu juga telah menyebabkan pencemaran air kumbahan di dalam sistem sungai bawah tanah terbesar di dunia. (Sumber)

5. Kutub Selatan

Kewujudan agensi-agensi pelancongan yang menawarkan pakej kapal layar menuju ke Kutub Selatan sedikit sebanyak telah memberikan impak negatif kepada ekosistem di kawasan itu.

Walaupun Triti Kutub Selatan mengehadkan masa dan jumlah pengunjung yang boleh datang pada satu-satu masa, namun jumlah pengunjung kian meningkat saban tahun. Bagi tahun 2016-17 sahaja seramai 44,000 orang pelancong telah memilih Kutub Selatan sebagai destinasi percutian mereka.

Kedatangan pelancong-pelancong ini menyebabkan berlakunya hakisan dan gangguan persekitaran yang secara semulajadinya tidak begitu kukuh. Selain itu, banyak kes tumpahan minyak berpunca daripada bot dan kapal pelancongan yang terjadi. Habitat haiwan-haiwan yang membiak di situ juga terganggu sehingga ada spesis yang meninggalkan sarang tempat tinggal untuk berpindah ke kawasan lain. (Sumber)

Sumber: Iluminasi

Kembali ke Atas