Adakah Depresi Boleh Dirawat Dengan Membaca Al-Quran Semata-Mata?
ADAKAH DEPRESI BOLEH DIRAWAT DENGAN MEMBACA AL-QURAN SEMATA-MATA?
Komen di bawah adalah salah satu respon terhadap isu Depression.
Menurutnya, depression adalah penyakit yang boleh sahaja dirawat dengan Al-quran jika cara bacaan, wudhuk, tajwid dan tertibnya betul. Sekali pandang, kata-kata begini amat enak dibaca kerana terselit unsur-unsur Islamik di dalamnya. Hakikatnya, ia tak lebih dari sekadar satu kalimah toyyibah yang tak membantu.
Sebagai umat Islam yang berpegang pada iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita sama sekali tidak menafikan kehebatan Al-quran. Ya, begitu banyak rahsia dan ilmu yang terkandung di dalamnya.
Sungguhpun begitu, adakah apabila kita mendapat sesuatu penyakit, kita cuma perlu membaca Al-quran semata-mata dan berharap semuanya akan pulih? Lupakah kita, begitu banyak suruhan dari Al-quran dan Al-hadis yang meminta kita berusaha terlebih dahulu sebelum bertawakkal? Berusaha pula mestilah dengan kaedah yang betul. Mendapatkan rawatan dari pihak profesional seperti psychiatrist, psychologist dan kaunselor dikira sebagai salah satu usaha yang betul. Setelah berusaha, barulah logik untuk kita berdoa dan bertawakkal.
Tuan-tuan, depression atau kemurungan bukan lagi cuma satu masalah hati atau kerohanian, ia adalah satu kecelaruan psikologi atau masalah berkaitan mental yang serius. Ia melibatkan organ yang penting iaitu otak dan mengakibatkan perubahan hormon dalam badan, perubahan emosi, cara berfikir dan mengganggu lain-lain fungsi otak seorang manusia. Bunuh diri banyak berpunca dari pesakit yang menghidap Depression.
Kita sebagai manusia dan sebagai umat Islam perlu menggunakan akal fikiran untuk menghadapi masalah ini. Hari demi hari, kajian perubatan moden semakin maju dan telah menjumpai cara merawat depression ini. Depression sebenarnya boleh dirawat dengan beberapa jenis ubatan dan dengan kaedah psychotherapy.
Adakah apabila kita menggunakan kaedah perubatan moden ini kita dikira tidak beriman dengan Al-quran? Sudah tentu tidak! Ahli falsafah Islam yang terkenal seperti Ibnu Sina juga mengkaji ilmu perubatan moden. Kenapa dia tidak membaca Al-quran sahaja dalam usaha merawat pesakit-pesakitnya?
Masalah melibatkan kesihatan mental bukan lagi mitos. Ia bukan lagi kes yang jarang-jarang didengari. Kes berkaitan kecelaruan mental dilaporkan semakin meningkat. Penyakit mental dijangka menjadi penyakit kedua tertinggi di Malaysia selepas penyakit jantung menjelang tahun 2020. Menurut kajian terbaru oleh Institut Kesihatan Umum Kementerian Kesihatan Malaysia, 4.2juta atau 29.2% penduduk Malaysia mempunyai masalah mental. Negeri Sabah tertinggi, diikuti WP Kuala Lumpur dan Kelantan.
Depression juga tersenarai sebagai salah satu masalah mental. Masalah mental sama sahaja seperti masalah kesihatan lain. Jika seseorang yang patah kaki dirujuk ke hospital untuk disimen atau dibedah, mengapakah untuk kes depression kita suruh dia baca Al-quran sahaja? Adakah itu adil?
Mari sama-sama kita ubah stigma dan cara berfikir. Jika kita tidak mampu membantu mereka, janganlah kita tambah masalah mereka dengan kata-kata sindiran yang langsung tidak memberi faedah. Seseorang yang mengalami depression amat tersentuh dengan kata-kata orang di sekeliling mereka.
_______________________________________
Muhamad Muhsin Bin Zaidi
Penolong Pegawai Perubatan
Medical Mythbusters Malaysia