Hospital Swasta Vs Kemampuan Anda?

Hospital Swasta VS Kemampuan.

Ramai wanita memilih untuk bersalin di hospital swasta kerana ingin doktor wanita, kepercayaan bahawa rawatan adalah lebih bagus, ingin keselesaan dan privacy, ingin anak-beranak dapat tinggal sekali di hospital dan sebagainya. Akan tetapi, caj hospital swasta adalah tinggi. Adakah anda benar-benar mampu untuk rawatan di hospital swasta?

Senario 1:
Seorang wanita bergegas ke sebuah hospital swasta kerana telah tiba masanya untuk bersalin. Selepas beberapa jam, doktor menasihatinya bahawa kelahiran pembedahan perlu dilakukan kerana ‘failure to progress’. Wanita dan suaminya akur, dan bayinya dilahirkan dengan selamat melalui caesarean section.

Beberapa hari kemudian, wanita tersebut dan bayinya disahkan sihat untuk pulang ke rumah. Suaminya diminta untuk membayar bil. Tetapi suaminya memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai wang yang secukupnya. Menurutnya, dia telah pun memohon untuk pinjaman dan dijangka permohonannya akan diluluskan dalam masa seminggu. Dia mengemukakan bukti untuk permohonan tersebut. Isteri dan bayinya dibenarkan pulang, tetapi dokumen-dokumen kelahiran yang diperlukan untuk mendaftar kelahiran bayi dipegang oleh pihak hospital swasta sehingga bayaran bil dilangsaikan.

Beberapa bulan telah berlalu dan suami tersebut masih belum melangsaikan hutang, dan kelahiran bayinya masih belum berdaftar.

Senario 2:
Sebuah hospital swasta menjadi pilihan ramai pasangan untuk melahirkan bayi mereka kerana caj yang murah berbanding dengan hospital swasta yang lain. Ramai yang memilih untuk bersalin di sini menabung wang yang secukupnya untuk membayar caj untuk kelahiran biasa.

Akan tetapi, malang tidak berbau. Tidak semua wanita yang merancang untuk bersalin biasa, akan berjaya bersalin biasa. Ada yang mengalami ‘fetal distress’ atau ‘baby lemas’ dan pembedahan caesarean terpaksa dilakukan untuk melahirkan bayi secepat mungkin untuk menyelamatkan nyawanya.

Dalam keadaan ini, ada beberapa pasangan yang meminta untuk di refer ke hospital kerajaan sebagai kecemasan kerana tidak mampu membayar caj caesarean.

Tetapi, untuk memindahkan pesakit ke hospital besar (walaupun hanya 1Km jauhnya) akan memakan masa sekurang-kurangnya sejam ke sejam setengah sehingga caesarean dapat dilakukan dengan selamat (Bayar bil medical centre, sediakan ambulans, pindahkan pesakit, perlu menghubungi hospital besar, masa perjalanan, masa untuk persediaan untuk melakukan pembedagan etc). Adakah bayi yang lemas akan masih hidup dalam masa sejam setengah itu?

Senario 3:
Seorang wanita melahirkan bayinya dengan selamat di hospital swasta. Tetapi didapati bayinya mengalami masalah pernafasan. Oleh itu, bayi terpaksa dirawat di wad NICU (Neonatal ICU) dengan alat bantu pernafasan. Bayi itu dirawat di NICU selama 4 hari sebelum keadaannya pulih. Caj untuk rawatan di NICU ialah lebih kurang RM2000 untuk satu hari. Bil keseluruhan wanita tersebut hampir mencecah RM20000 sedangkan dia hanya menyediakan RM5000 untuk bersalin normal.

Sebagaimana kita harus pandai menguruskan perbelanjaan menurut kemampuan kita apabila membeli baju, makanan, kereta atau rumah, seperti itu juga sepatutnya kita memilih klinik/hospital/medical centre.

Ikutlah kemampuan kita. Jika tidak mampu untuk ke hospital swasta, tidak perlu malu. Pergilah ke hospital kerajaan. Mungkin anda perlu tunggu lama sedikit dan mungkin wad kurang selesa berbanding dengan hospital swasta, tetapi rawatan adalah lebih kurang sama.

Untuk wanita yang hendak bersalin, bajet dan simpan wang cukup untuk kelahiran caesarean. 20-30% wanita terpaksa melahirkan anak melalui pembedahan caesarean. Oleh itu adalah tidak munasabah untuk beranggapan yang anda sememangnya akan berjaya bersalin normal.

Jika anda tidak mampu membayar caj caesarean, lebih wajar untuk anda bersalin di hospital kerajaan.

Simpanlah wang secukupnya untuk caesarean. Jika rezeki anda untuk bersalin normal, wang yang berlebihan boleh digunakan untuk membeli keperluan anak itu, atau menjadi wang simpanannya untuk masa depan. Bukankah lebih elok begitu?

 

Kembali ke Atas