Luahan Hati Ibu Allahyarham Zulfarhan dan Pesanan Kepada Ibu Bapa Yang Lain

 

Aku mampu berdiri membelamu, kalau perlu kuserahkan nyawaku. Mungkin, kiranya kalau itulah ikrar seorang ibu, takkan sanggup dia melihat anak yang dikandung 9 bulan, yang dibelai kasih sayang dan yang dibesarkan dengan seluruh naluri keibuan untuk menderita. Inikan lagi diazab dengan kejam.

Khabar kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, kerana didera sampai mati menyentak seluruh rakyat Malaysia. Siapa tak terkejut, bagaimana sekumpulan skuad pelajar yang dilatih untuk menjaga kedaulatan negara tergamak berperangai binatang menyeksa mangsa secara brutal.

Dalam kes jenayah yang berlaku pada awal Ramadan itu, mangsa dituduh mencuri komputer riba dan dibelasah beramai-ramai. Mangsa juga didapati dipukul menggunakan tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju, termasuk ditekap dengan seterika wap. Hospital Serdang sendiri mengesahkan punca kematian mangsa akibat kesan melecur sehingga 80% di dada, alat sulit, tangan dan kakinya.

Suara yang serak, petanda dia masih belum pulih sepenuhnya. Ini temu bual telefon di antara Editor Nona, Kiffy Razak bersama Puan Hawa yang merupakan seorang Pembantu Tadbir di SMK Aminuddin Baki, Johor Bahru.

KR : Bagaimana keadaan dan kehidupan Puan sekarang dalam bulan Ramadan ni?

HO : Keadaan saya macam itulah. Sekarang saya sedang mengharapkan anak-anak saya yang lain balik iaitu pada 22hb ini.

KR : Puan ada berapa orang anak? 2 perempuan dan 2 lelaki?

HO : Ya, anak pertama dan kedua lelaki manakala yang ketiga dan keempat, perempuan. Anak perempuan saya, tahun ni bakal ambil SPM dan seorang lagi PT3.

KR : Dengan keadaan yang berlaku sekarang, tentu sahaja Ramadan kali ni lebih menyentuh hati?

HO : Memanglah. Setiap kali kalau saya tengok kuih seri muka dan baulu, saya tak boleh makan sebab itu kesukaannya. Apa yang arwah suka, kami akan stop dulu. Macam ikan bawal masak kerutup, itu memang favourite dia. Kalau katalah dia balik, setiap kali itu saya akan masakkan seekor ikan bawal kerutup untuk dia bawa balik bekal ke sana. Jadi sekarang ikan bawal kita stop dulu.

Menjelang hari raya pun, misalnya esok hari raya, dia yang akan isi beras ke dalam daun ketupat. Dia juga yang bantu bersihkan rumah dan masak ketupat. Itu memang tugas dia. Pilunya hati ini hingga buat kami tak sanggup nak sambut raya. Saya sendiri kalau di rumah, selalu terpandang-pandang dia baring kat depan.

Walaupun tahun ni saya dah beli baju raya untuk anak-anak dan suami, tapi hati ini terlalu sayu untuk menatap helaian baju arwah itu. Mungkin adik-adiknya akan pakai sebab sudah beli. Tapi ayah dia kata, dia tak sanggup nak pakai. Teringat waktu berborak dengannya, saya cakap tentang baju warna kelabu ni dengan dia (arwah). Dia tanya, “Mak, kenapa beli awal?”

Sebenarnya kebetulan ada ekspo, jadi saya cari baju dia dulu sebab baju dia saiz M. Susah nak cari. Jadi saya cakap, “Kita beli dulu baju Along. Kalau Along punya tak de kita tak beli untuk yang lain.” Akhirnya lepas cari punya cari, jumpalah yang dia punya… dan baru kami beli untuk ayah dan adik dia.

KR : Dengan tragedi yang berlaku, semua orang melihat Puan seorang yang kuat menghadapi semuanya. Dari mana datangnya kekuatan itu?

HO : Kekuatan tu datang daripada anak-anak, saya ada tiga orang lagi dan suami. Sahabat-sahabat saya iaitu Puan Norizan, Puan Sapinah dan Puan Norhayati serta guru-guru lain juga banyak beri kekuatan dan semangat pada saya. Pada zahirnya orang nampak saya kuat tapi pada batinnya, saya tak boleh terima cara kematian anak saya.

Saya tahu semua orang pasti akan mati. Tapi saya tak boleh terima cara dia meninggal tu dengan penderitaan yang ditanggung. Kalau tengok jenazah dia, memang hati ni dah hancur luluh tapi saya kuatkan semangat. Saya fikir kalau tak kuat semangat, katalah saya pengsan ke apa, orang lain akan menguruskan saya pula. Jadi saya reda dengan kematian dia tapi cara, cara kematian dia tu (sebak).

Bila saya baca daripada (laporan) yang dia kena dera tu, maknanya orang mengikat dia dan menutup mulut dia supaya jangan menjerit. Saya cuba bayangkan hari tu, saya membunuh seekor lalat. Lalat tu menggeletik, menggeletik, menggeletik. Saya cakap dengan adik dia, macam itulah anak saya menggeletik bila kena seterika. Sedangkan kita kena sikit pun dah, (mengeluh).

Saya tak boleh bayangkan, masa arwah kena tu mungkin dia memanggil nama saya. Sebab saya di sini tak boleh tidur malam, saya keluar masuk bilik banyak kali. Allah, saya tak boleh tidur langsung waktu dan ketika itu.

KR : Alhamdulilah Puan ada kekuatan itu, walaupun saya dengar di depan Puan sangat kuat, tapi di sebaliknya siapa yang tahu, dalam bilik Puan juga menangis.

HO : Ya, mungkin saya nampak kuat dan tidak terlalu emosi. Di pejabat saya pun, saya akan paparkan gambar anak saya di PC (wallpaper) untuk kekuatan saya. Tapi bila kawan saya mula cakap, “Kak, boleh tak dengar lagu raya?” Kebetulan pula tu, lagu raya, ‘Menanti Kepulangan Anakmu’. Itu yang membuatkan saya lagi sedih. Sebabnya, setiap ibu bapa mesti menanti anaknya. Tapi sekarang ni, saya akan menanti anak lelaki saya sorang sajalah. Yang sorang lagi dah pergi tak akan kembali.

Lagi satu tak sampai hajat saya, nak tengok anak sulung menggenggam segulung ijazah. Teringat yang terakhir dia ambil gambar semasa kami di UPNM tu, dia kata belajar tinggal lagi 4 tahun. Orang kata pejam celik 4 tahun tu tak lama. Pernah saya pesan, “Along belajar betul-betul. Mak nak anak Mak yang sulung ni sama macam sepupu-sepupu yang lain.” Jadi saya nak anak saya pun macam itu. Anak kedua ambil diploma, bakal habis 2018. Along pula, 2019.

Tapi saya tak tahu kenapa orang boleh buat anak saya macam tu sedangkan dia tak menyusahkan orang lain, dia buat hal sendiri. Mungkin orang iri hati tengok dia ramai kawan, dia disayangi oleh jurulatih… Itu saya tak tau. Apa tujuan mereka memfitnah anak saya? Saya cakap, kalau misalannya betullah dia mencuri, mereka boleh cari jalan penyelesaian. Minta nombor telefon saya atau ayah dia, tak kiralah, saya boleh bayar. Even 10 laptop pun saya boleh bagi. Tapi kenapa dia buat anak saya sebegitu rupa?

KR : Apa nasihat Puan yang boleh dikongsi dengan ibu-ibu lain yang jauh daripada anak mereka? Sekarang ramai yang mula takut dengan kes buli yang sedang viral.

HO : Nasihat saya, kalau anak-anak ada beritahu mereka kena buli, kita kena cepat pergi tengok. Sebab macam saya, tiap dua minggu sekali saya akan pergi. Itu pun saya bercadang nak pergi pada 4hb, sebab anak kata dia tak dapat balik pada bulan puasa. Jadi okey, saya kata lepas saya habis kerja, saya akan pergi ke sana.

Macam saya pun, kali terakhir jumpa dia pada bulan 4. Masa tu di UPNM ada konvo. Saya pergi, ada bergambar dengan dia, tak ada masalah apa-apa. Tiba-tiba suami dapat panggilan mengatakan anak saya dah tak ada. Saya kesal, kalau misalannya kawan-kawan dia yang semangat setia kawan tu beritahu yang dia sakit, saya mesti akan terus naik (Dari JB ke UPNM). Ini tak ada khabar berita pun!

25hb (Mei) tu dia ada call. Saya cakap, “Along, Along punya suara macam sakit.” Tapi dia jawab, dia tak sakit. Mak yang sakit sebab saya sebelum tu memang ada demam dan batuk. Saya tahu dia tak mahu menyusahkan saya. Tapi dalam hati seorang ibu ini telah terdetik rasa kurang senang dengan keadaan itu. Jadi nasihat saya pada ibu bapa lain, selalu-selalulah tengok anak dan ambil berat setiap apa yang mereka adukan.

KR : Pada masa tu, hati anda dah terasa tak sedap hati?

HO : Ya, Saya cakap dengan dia, “Mak dengar suara Along tak sihat.” Tapi dia cakap, dia sihat Mak. Sebab dia jenis orang yang kuat semangat. Saya terkenang kata-katanya kalau setiap kali dia call saya, mesti ayat dia… ‘Assalamualaikum Mak, apa khabar? Mak sihat?’ Dan bila dia dah habis periksa, pagi-pagi dia akan call untuk cakap, ‘Mak, doakan Along!’.

Kami juga gelarkan dia ‘burung hantu’ sebab dia hanya akan call setiap pukul 1.30 pagi, iaitu selepas selesai latihan. Pernah dia beri ucapan Hari Ibu pada pukul 1.30 pagi tapi masa tu saya dah tidur. Dia cakap, ‘Mak tak balas pun’. Sekarang saya dah kehilangan dia. Tiada lagi kata-kata itu seperti selalu. Saya harap si pelaku tu akan diberikan hukuman yang setimpal.

KR : Soalan saya yang terakhir. Kalau sekarang ni, ada tak kalau Puan tengok seterika tu meninggalkan kesan yang sangat-sangat dalam pada Puan?

HO : Kawan-kawan saya di tempat kerja pun, mereka kata kalau terpandang seterika terus rasa seriau. Sebab kena sikit pun…. (senyap). Inikan pula anak saya yang ditekap dengan seterika wap. TEKAP. Maknanya bila ditekap, terus… Organ-organ dalaman tu habislah. Jadi sekarang ni, memang anak-anak yang nombor 2 dan 3 yang gosok baju. Walaupun bukan steam iron, tapi iron biasa je… buat masa sekarang anak-anak sayalah yang gosok baju. Saya belum mampu membuat semua itu.

KR : Saya doakan semoga Puan dan keluarga akan terus tabah. Kita sama-sama doakan arwah ditempatkan di tempat orang yang beriman dan saya juga berharap semua perjalanan Puan akan dipermudahkan.

HO : InsyaAllah.

 

Sumber : Majalah NONA

 

Kembali ke Atas