Percutian 3 hari 2 malam Pulau Tioman

Bersempadan di antara Rompin, Pahang dan juga Mersing, Johor, anda mempunyai dua cara untuk pergi ke sana iaitu dengan menaiki feri dari Jeti Tanjung Gemuk di Rompin atau Jeti Mersing.

Kami berlepas dari Terminal Bersepadu Selatan dan perjalanan memakan masa kira-kira empat jam.

Selepas tiba di Kuala Rompin, kami menaiki teksi ke Jeti Tanjung Gemuk yang tidak begitu jauh. Sambil menunggu kompleks jeti dibuka pada jam 9 pagi, kami menikmati sarapan pagi dimana terdapat beberapa buah gerai makanan dibuka sekitar jeti tersebut.

Kepada mereka yang memandu kenderaan sendiri, anda boleh meletakkan kereta anda di kawasan parkir yang terdapat di perkarangan kompleks jeti dengan harga RM32 untuk tempoh 3 hari 2 malam.

Kaunter tiket feri dibuka pada jam 9 pagi dan kami berlepas dari jeti pada jam 11.30 pagi. Anda boleh mendapatkan barang keperluan dan makanan ringan di kedai sekitar perkarangan kompleks.

 

Untuk percutian kali ini, kami mengambil pakej Sun Beach Resort Sdn. Bhd. dimana ia berharga RM330 untuk setiap seorang bagi tempoh 3 hari 2 malam.

Pakej Percutian Pulau Tioman

Pakej termasuk:

  1. Perjalanan pergi balik menggunakan bot antara Jeti Tanjung Gemuk dan Sun Beach Resort
  2. Minuman ringan percuma ketika tiba di resort
  3. Bilik penginapan tanpa penghawa dingin untuk dua malam
  4. Sarapan pagi x 2, makan tengahari x 1, makan malam x 1, makan malam barbeku & makan lewat malam x 1
  5. Trip snorkeling (tanpa peralatan)

 

 

Resort Percutian Pulau Tioman: Sun Beach Resort

Sun Beach Resort terletak di perhentian jeti pertama Pulau Tioman iaitu Kampung Genting. Kampung ini terkenal di kalangan penyelam di Malaysia keraana terdapat banyak sekolah skuba yang membawa penyelam menyelam di Pulau Tioman.

Setibanya di Sun Beach Resort, kami terus mendaftar masuk bilik dan berehat buat seketika.

 

Aktiviti Percutian Pulau Tioman: Hari Pertama

Pada sebelah petang, kami telah ke sebuah kedai yang menyediakan khidmat sewa peralatan snorkeling. Untuk gorgle dan jaket keselamatan, bayaran sewa sebanyak RM16 dikenakan untuk tempoh satu hari.

Oleh kerana aktiviti kami bermula keesokan hari, kami menghabiskan waktu petang dengan bermain di sekitar kawasan pantai. Oh ya, anda juga boleh melakukan aktiviti lain seperti berkayak, memancing atau trek hutan di kawasan Kampung Genting. Sekurang-kurangnya anda mempunyai pilihan lain selain daripada bermain di pantai.

 

Aktiviti Memancing

 

Aktiviti Berkayak

Sekitar jam 7 malam, pihak resort telah menyediakan barbeku untuk hidangan makan malam. Sajian seperti nasi goreng, ayam, sotong, ikan dan sosej bakar serta buah-buahan dihidangkan untuk dinikmati oleh penginap.

Aktiviti Percutian Pulau Tioman: Hari Kedua

Sarapan pagi disediakan pada jam 7 pagi. Hidangan seperti nasi lemak, roti bakar dan buah-buahan disediakan. Apa yang menarik, anda boleh menikmati pemandangan pantai di kafe Sun Beach sambil makan.

Aktiviti Snorkelling

Selepas sarapan, kami bersiap untuk ke jeti pada jam 8 pagi dimana kami dibawa ke kawasan Taman Laut untuk aktiviti snorkeling. Melihat air laut biru, hidupan marin dan terumbu karang di dasar laut sememangnya satu pengalaman yang cukup indah.

 

Pulau Renggis adalah salah satu pulau yang paling cantik di sekitar Pulau Tioman. Batu karang berwarna-warni serta ikan-ikan jinak bermain sekeliling anda pasti membuatkan anda terhibur dan kagum dengan keindahan alam semula jadi.

 

Oh ya, terdapat sebuah kedai bebas cukai di sebuah kawasan kampung di Pulau Tioman. Di sini anda boleh mendapatkan cenderamata atau coklat dengan harga murah.

Anda akan dibawa ke beberapa buah lokasi untuk snorkeling dan ianya sangat berbaloi kerana anda diberi masa satu jam di setiap lokasi.

 

 

Bercuti Di Pulau Tioman Pulau

Aktiviti Snorkelling

Kami pulang ke Jeti Kampung Genting pada jam 1.30 tengahari. Selepas itu kami mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar pulau.

Bagi penggemar trek hutan, anda boleh melakukan aktiviti tersebut di Kampung Paya dan Kampung Salang. Di sini terdapat juga air terjun yang menjadi tarikan pelancong.

 

Ramai yang mengambil peluang melakukan aktiviti kayak. Jika anda tidak segan, anda juga boleh menyertai mereka yang lain untuk bermain bola tampar dan juga beberapa sukan lain. Pada sebelah petang, kami berjalan-jalan sekitar kawasan jeti dan melihat beberapa orang yang sedang memancing ikan.

Tiba waktu makan malam! Kali ini kami disajikan menu masakan kampung seperti kari ayam, ikan tenggiri masak tiga rasa dan juga ulam-ulaman. Selepas itu kami turut diberikan hidangan ringan iaitu teh panas dan kek.
Selesai semuanya, kami membuat keputusan untuk pergi ke tepi pantai sambil bermain beberapa jenis permainan serta meluangkan masa bersama-sama.

 

Aktiviti Percutian Pulau Tioman: Hari Ketiga

Selepas sarapan pagi, kami bersiap-siap untuk pulang ke Kuala Lumpur. Kami mendaftar keluar bilik pada jam 8 pagi dan menunggu feri di jeti sekitar jam 8.30 pagi.

Selepas tiba di Jeti Tanjung Gemuk, kami terus ke stesen bas dan berlepas ke Kuala Lumpur.

 

Kembali ke Atas