11 Cara Orang Perancis Mendidik Anak

11 Cara Orang Perancis Mendidik Anak

Katanya, cara orang Perancis mendidik anak antara yang bagus untuk dicontohi. Pendekatan mereka tak jauh beza dengan cara orang tua kita dulu-dulu yang lebih percaya pada pendekatan tegas semasa mendidik anak-anak.

Biasanya kalau orang barat mereka lebih suka pendekatan psikologi dan banyak beralah pada anak-anak. Nampaknya hari ini semakin ramai ibu ayah muda yang memilih pendekatan sebegini untuk membesarkan anak mereka.

Apa pun cara yang kita pilih semuanya berkesudahan mahu si anak menjadi insan yang berjaya, beradab dan berakhlak mulia. Tapi tak salah untuk tiru cara ‘parenting’ orang barat kalau ia ada kebaikan pada perkembangan dan sahsiah anak kita. Ini cara ibu bapa Perancis mendidik anak mereka.

 

1. Sesekali biar anak rasa kecewa

Tak semua keinginan anak mesti dipenuhi oleh ibu ayah. Belajar rasa kecewa adalah perkara bagus untuk anak yang sedang membesar. Biarkan dia belajar pengalaman ini untuk persediaannya menghadapi cabaran yang lebih banyak dalam kehidupan nanti. Perasaan kecewa tak dapat apa yang diinginkan boleh menyuntik semangat tak putus asa dalam diri anak.

2. Ajar anak untuk bersabar

Mengajar anak untuk menunggu sesuatu perkara seperti hendak susu, makan, perhatian dari ibu ayah atau menanti ibu atau ayah menjawab soalannya membantu mereka menjadi orang yang penyabar tanpa perlu cepat mengamuk dan marah-marah. Skil ini penting supaya anak tahu menghormati ibu ayah dan tidak hanya tahu mengarah sahaja.

3. Ajar anak hormat masa ‘privacy’ ibu dan ayah

 

Dari kecil lagi biasakan ajar anak tentang masa ‘privacy’ ibu dan ayah. Anak perlu dibiasakan yang ibu dan ayah juga perlukan masa dihabiskan bersama tanpa kehadiran anak. Bukan maksudnya tak sayang anak tapi ia penting untuk keharmonian dan kebahagiaan ibu ayah serta keseimbangan keperluan hidup.

4. Jangan lindungi kesalahan anak

Biarkan anak belajar dari kesilapannya. Tak perlu nak tolong ‘cover’ atau lindungi kesalahan yang anak dah buat. Bila ibu atau ayah selalu lindungi mereka, anak tak akan belajar akibat yang dia akan tanggung bila bersikap cuai atau terlupa.

Dia akan terus ulang kesalahan yang sama tanpa belajar sesuatu. Bila ibu dan ayah tak ‘cover’ mereka maka di masa akan datang dia akan lebih beringat dan berhati-hati. Ini membantu mereka belajar tentang kehidupan yang sebenar.

 

5. Biarkan anak bebas bereksplorasi

 

Tak perlu jadi ibu yang terlalu paranoid dan melindungi anak kerana bimbang keselamatannya. Sebagai ibu bapa, kita memang prihatin tentang keselamatan anak. Sesekali biarkan anak bebas bereksplorasi dan mencuba macam-macam aktiviti aktif seperti bermain monkey bar di taman permainan, skateboard, skuter atau melompat dan memanjat cuma pantau keselamatan mereka sahaja.

6. Tak obses penuhkan jadual anak dengan aktiviti belajar

Hari ini ramai ibu ayah yang obses hantar anak belajar macam-macam kemahiran sampai padat jadual seharian mereka hingga tak ada masa untuk anak berehat. Tapi orang Perancis tak percaya cara itu boleh jadikan anak mereka cemerlang. Mereka lebih percaya untuk memberi ruang kepada anak untuk buat aktiviti sendiri dan paling penting masa bersama keluarga sekurang-kurangnya makan malam bersama. Jadi mereka tak akan memenuhkan jadual harian anak dengan aktviti belajar sahaja.

 

7. Libatkan anak dalam urusan kerja rumah

Ajar anak dari kecil tolong ibu ayah buat kerja rumah. Bagi orang Perancis, semua tugas-tugas di rumah adalah juga tanggungjawab anak kerana mereka adalah sebahagian daripada keluarga dan mesti menyumbangkan sesuatu dalam urusan kerja rumah. Ibu ayah kena ajar anak buat kerja rumah bersesuaian ikut umur mereka. Barulah mereka belajar bertanggungjawab dan faham kesusahan membuat kerja rumah.

8. Masa bersama keluarga paling penting

Keluarga Perancis sangat mementingkan masa berkualiti bersama keluarga. Kalau susah untuk makan malam bersama setiap hari kerana komitmen masing-masing, mereka tetap akan rancang sekurang-kurangnya beberapa kali mesti makan bersama. Setiap hujung minggu, pastikan rancang jadual makan malam atau tengah hari bersama keluarga diikuti dengan aktiviti bersiar-siar bagi mengeratkan hubungan.

 

9. Hubungan rapat adik-beradik

Bagi yang mempunyai ramai anak, mereka biasakan anak yang besar untuk membantu adik-adik lain. Contohnya kakak atau abang boleh bawa adik bermain di taman permainan, hidangkan makanan di meja makan atau bantu adik menyiapkan kerja sekolahnya jika boleh. Ini membantu mengeratkan hubungan kasih sayang antara adik-beradik, mengurangkan pergantungan pada ibu ayah dan menjadikan mereka lebih mampu berdikari dan bertanggungjawab.

10. Ajar anak beradab sopan

Walaupun anak seorang yang pemalu terutama dengan orang yang dia tidak dikenali tetapi mereka tetap diajar beradab sopan dengan orang lain walaupun dengan kawan sendiri. Mereka diajar untuk biasa memperkenalkan diri, mengucapkan salam, selamat tinggal dan terima kasih sebagai asas kelakuan baik di depan tetamu walaupun sekadar di kalangan kawan-kawan.

11. Masa berkualiti di luar rumah

Walaupun orang Perancis mementingkan masa bersama anak di meja makan tetapi mereka percaya kanak-kanak mesti dibiarkan menghabiskan banyak masa membuat aktiviti di luar rumah. Memberi kebebasan kepada anak untuk bermain di taman bersama kawan-kawan, bersiar-siar dengan keluarga adalah cara terbaik memastikan mereka sihat, gembira dan cerdas.

Sumber : Pa & Ma

Kembali ke Atas