Gigi Anak Terlebih Dan Berlapis-lapis Betulkah Ianya Gigi Susu?

Penjagaan gigi kanak-kanak yang sedang membersar sudah pasti banyak cabarannya. Maklum sahaja belum tumbuh gigi kekal dan belum pandai pula menjaga dan membersihkan gigi dengan sempurna

Gigi anak yang terlebih dan berlapis-lapis, benarkah ianya akan gugur sendiri sebab ia gigi susu? Naca kes dan pengalaman Ibu di bawah :

Seorang ibu datang ke klinik gigi membawa anak lelakinya berumur 9 tahun. Kata si ibu gigi anaknya buruk. Dua gigi kacip di hadapan menjongang seperti dalam gambar. Sudahlah jongang, tumbuh dengan jarak dan ruang antara gigi yang besar menambah buruk pada wajahnya. Kata si ibu lagi, gigi itu jadi begitu disebabkan terdapat gigi susu yang belum gugur. Gigi susu tersebut masih kukuh semasa gigi kekal tumbuh keluar.

Lalu si ibu membawa anak lelakinya kepada perkhidmatan pergigian. Cubaan mencabut gigi dilakukan oleh pegawai terlibat. Tak pasti sama ada doktor gigi, jururawat pergigian atau doktor gigi jadian. Cubaan tersebut gagal. Kes budak kecil ini dibiarkan begitu sahaja, tanpa ada rujukan kepada yang sepatutnya. Kes terabai. Mujur si ibu ada kesedaran.

Kedudukan gigi hadapan seperti di dalam gambar. Terdapat satu gigi berbentuk konikal dan tumbuh di tengah-tengah antara dua gigi kacip. Gigi-gigi lain juga ada masalah aturannya. Gigitan silang, tidak tumbuh habis kerana berlaku himpitan dan gigi terimpak dengan teruk sekali. Kebersihan mulut sangat-sangat tidak memuaskan. Di celah-celah gigi yang terimpak dan antara gusi penuh dengan plak dan sisa makanan. Gusi merah dan bengkak.

Pemeriksaan radiograf untuk gigi hadapan dilakukan. Untuk mengesahkan status gigi tersebut. Bagaimanakah bentuk akarnya dan hubungannya dengan gigi-gigi berdekatan. Apa yang pasti, gigi ini BUKAN GIGI SUSU. Tidak ada gigi susu berbentuk kon begitu dan tumbuh keluarnya di lelangit.

Gigi susu hadapan akan tumbuh pada umur lingkungan 6 bulan dan gugur sendiri jika tidak dicabut (sebab rosak) pada umur lingkungan 6 tahun. Jadi ini gigi apa?

Inilah yang kita panggil GIGI SUPERNUMERARY. Bahasa mudahnya gigi yang terlebih bilangan. Kalau tumbuh di tengah begini, ia juga dipanggil MESIODENS.

  

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Dalam Indeks Keperluan Rawatan (Index of Treatment Needs), kes begini adalah di bawah kategori 4x, bermakna untuk rawatan yang segera. Konsultasi akan dilakukan dengan pakar orthodontik untuk cabutan dan rancangan rawatan seterusnya selepas itu.

Pakar orthodontik mencadangkan untuk medapatkan khidmat konsultasi tentang orthodontik seawal umur 7 tahun, untuk mengenal pasti masalah susunan gigi seperti kes sebegini.

Ibu bapa ambil perhatian kes seperti ini dan tambahlah ilmu.

Yang pasti, ia bukan gigi susu.

Dr Muhamad Iqbal
Pegawai Pergigian

Sumber : Medical Mythbuster Malaysia

Kembali ke Atas