5 Cadangan Mengurus Duit Raya Anak
Menjelang Syawal, anak-anaklah yang paling seronok. Bukan sahaja bergaya dengan baju baru malah sepanjang bulan mulia ini, anak-anak menjadi Orang Kaya Baru (OKB) hasil kutipan duit raya.
Kepada ibu dan ayah, jangan pula menjeling-jeling duit raya anak. Jangan pernah terfikir untuk menggunakan duit anak-anak untuk kepentingan diri. Sebaliknya bersikap amanah dan membantu anak-anak membiakkan duit raya anak. Nak tahu caranya? Jom semak tip ini.
1. Simpan Duit Anak Dalam Bank
Jangan simpan duit raya anak di rumah sebaliknya masukkan terus ke akaun bank mereka. Selain bahaya kerana terdedah kepada kes kecurian atau kehilangan akibat kecuaian, ia juga boleh menyebabkan ibu dan ayah ‘terguna’ duit anak-anak.
Sebaik-baiknya simpan duit anak dalam akaun ASW, SSPN atau Tabung Haji yang mempunyai dividen yang tinggi. Sudah pasti wang anak bertambah dari semasa ke semasa.
Maklumat lanjut :
ASW = http://www.asnb.com.my/v3_/asnbv2_0index.php
SSPN = http://www.ptptn.gov.my/web/guest/anjung
Tabung haji = http://www.tabunghaji.gov.my/
2. Didik Anak Budaya Berjimat Cermat
Lumrah anak-anak memang mahu berbelanja besar dengan duit raya yang diperoleh. Jangan ikutkan kemahuan mereka, semuanya mesti berpada-pada. Beli barang yang anak mahu dengan bajet sederhana, selebihnya simpan dalam bank. Didik anak berjimat dan menghargai nilai wang.
3. Sederhana Beraya
Tidak perlu berbelanja besar membuat persiapan raya. Cukup sekadar meraikan Syawal secara sederhana. Amalan ini membantu anda mengawal bajet kewangan dan tidak terjebak dengan hutang. Ia juga mengelakkan ibu dan ayah meminjam duit raya anak.
4. Beri Upah/ Ganjaran
Ajar anak berdikari dari kecil. Beri upah jika mereka membantu anda melakukan kerja rumah. Biar anak tahu jika mahukan wang mereka perlu berusaha untuk mendapatkannya.
5. Ajar Berniaga
Anak-anak cepat bosan dengan alat mainan atau games. Ajar mereka menjaga alat mainan dengan elok supaya ia boleh dijual kembali. Tunjuk cara menjual barangan terpakai kepada anak menerusi online seperti Mudah.my. Ia pasti membuka mata anak-anak untuk menambah tabungan mereka.