Apa Patut Dibuat Bila Anak Demam On Off

“Anak saya demamlah Doktor”

Demam adalah salah satu sebab utama ibu bapa membawa anak-anak mendapatkan rawatan dengan doktor. Bila anak demam terutamanya bayi kecil, pasti ibu dan ayah berasa susah hati. Mari kita lihat apa yang ibu bapa boleh lakukan jika anak demam di rumah.

1) Gunakan kain tuala kecil yang direndam dengan air suam (Tepid Sponging) kemudian diletak di dahi, ketiak, perut, leher dan celah peha.

2) Pakaikan anak pakaian yang nipis dan longgar. Elakkan dari menyelimuti si comel anda.
Pakaian/selimut yang tebal akan memerangkap haba seterusnya menaikkan lagi suhu badan anak

3) Mandikan anak dengan air paip/air suam. Jangan mandikan dengan air sejuk atau air ais kerana pembuluh darah akan mengecut dan menghalang haba dibawa ke kulit untuk dibuang.

4) Beri anak susu atau air minum sebanyak dan sekerap yang boleh. Ini boleh mengelakkan badan si comel dari mengalami kekeringan (dehydration). Lagi banyak cecair diberi lagi banyak air yang keluar melalui kencing seterusnya membantu menurunkan suhu badan.

5) Beri ubat demam mengikut sukatan dan dos yang betul pada anak anda sekiranya suhu melebihi 38°C. Suhu badan anak yang tinggi boleh membawa kepada sawan (Febrile Seizure). Sawan demam selalunya mudah terjadi pada anak-anak berusia dari 6 bulan sehingga 6 tahun.

Bila perlu bawa anak jumpa Doktor?

1) Sekiranya anak kecil anda berusia kurang dari 3 bulan, sila bawa segera berjumpa doktor sekiranya  mengalami demam panas. Demam panas pada bayi kecil boleh jadi tanda2 jangkitan kuman merbahaya. Dapatkan rawatan segera!

2) Demam tinggi melebihi 3 hari
3) Demam berserta sawan
4) Si comel tidak mahu menyusu ataupun minum air
5) Demam berserta ruam pada badan
6) Muntah atau cirit birit yang banyak
7) Anak-anak tidak aktif atau kelihatan letih
8) Anak kurang membuang air kecil berbanding hari biasa

Kebanyakan kes demam pada kanak-kanak adalah tidak merbahaya dan akan sembuh dengan
sendirinya. Namun, jika ibu bapa tidak yakin dengan kondisi anak, sila bawa berjumpa dengan doktor
segera untuk dapatkan nasihat ya!

Artikel di sumbangkan oleh :

DR AINAL FAEZAH MOHD MUSTAFA
Doktor Perubatan Keluarga
Klinik AZALEA

Kembali ke Atas