Bagaimana Mendidik Anak Tentang Pengurusan Kewangan?

Ajar Anak Urus Wang Seawal Usia Tiga Tahun
Ketahui apa yang boleh anda praktikkan dalam mendidik anak-anak menguruskan duit raya yang diperoleh dengan bijak sejak dari kecil.
1. Bila Tabungan Penuh, Baru Boleh Belanja
Kanak-kanak boleh dididik tentang pengurusan wang yang bijak ketika mereka berusia 3 tahun lagi. Pada tahap ini, anda perlu terangkan kepada mereka bagaimana perlu menabung dan menunggu duit tabungan cukup, barulah mereka boleh membeli sesuatu yang diinginkan.
2. Mak Ayah Kena Cekalkan Hati
Jangan tewas dengan serangan emosi seperti tangisan dan sebagainya yang dilancarkan oleh si kecil, supaya mereka belajar cara mendapatkan sesuatu bukan dengan cara yang mudah. Si kecil tentunya bijak dan boleh memahami apa yang anda ajarkan sejak kecil.
3. Labelkan 3 Tabungan
Sediakan 3 tabung untuk anak dengan setiap satunya dilabel; ‘simpanan’, ‘belanja’ dan ‘kongsi’. Setiap kali anak anda ingin menabung, pastikan mereka membahagikan duit sama rata untuk disimpan ke dalam ketiga-tiga tabung tersebut. Tabung simpanan untuk mereka simpan ke dalam bank atau membeli sesuatu yang agak mahal, tabung belanja untuk mereka gunakan bagi membeli stiker comel atau gula-gula kegemaran dan tabung ‘kongsi’ untuk digunakan bagi tujuan seperti memberi derma kepada kawan-kawan yang memerlukan.
4. Umur 5 Tahun, Tetapkan Matlamat Apa Yang Mereka Inginkan
Pada umur si kecil anda lima tahun, mereka pasti sudah cukup bijak untuk menetapkan matlamat bagi tabungan mereka. Dengan cara tersebut mereka akan dapat apa yang dihajati dengan duit tabungan itu. Jika barang permainan atau barangan lain diinginkan itu mahal harganya, anda boleh membantu dengan cara yang betul untuk memastikan matlamat mereka tercapai dalam masa ditetapkan. Contohnya mereka boleh menolong anda membasuh kereta atau menolong membuat kerja rumah atau mendapatkan keputusan yang baik dalam pelajaran.
5. Kira & Bantu Anak Cara Nak Capai Matlamat
Setiap kali anak anda menabung, bantu mereka mengira berapa jumlah yang ada, beritahu berapa lagi wang yang diperlukan untuk mencapai matlamat itu dan berikan dorongan untuk mereka terus menabung. Aktiviti sebegini menyeronokkan si kecil anda dan mereka pasti lebih teruja untuk terus menabung.
6. Umur 6 Tahun, Biarkan Anak Buat Keputusan
Apabila si kecil berusia 6 tahun, anda boleh melibatkan mereka dalam membuat keputusan tentang pembelian. Berikan mereka sedikit wang untuk dibelanjakan dan biarkan mereka membuat keputusan sendiri apa yang mahu dibeli. Dengan cara tersebut anda dapat mengajar mereka membuat keputusan dengan duit mereka sendiri.
7. Libatkan Anak Dalam Urusan Pembelian
Apabila keluar membeli-belah, anda dan pasangan mungkin boleh berbincang di hadapan anak-anak tentang keperluan barangan yang akan dibeli. Ia mungkin sudah ada di rumah atau boleh dipinjam atau boleh dibeli dengan harga yang lebih murah di tempat lain. Anak-anak akan belajar untuk menguruskan wang dengan lebih bijak daripada pemerhatian mereka terhadap anda berdua.

 

Sumber : Majalah Wanita

Kembali ke Atas