Keluhan Isteri Moden, Perlu Berkerja Lebih Keras Daripada Suami
Hendak mengeluh, sudah terlambat. Hari ini sudah terlalu ramai para isteri yang keluar bekerja atas dasar mahu membantu suami menambah pendapatan keluarga. Tidak cukup dengan hanya satu kerja, ada pula yang sanggup melakukan dua tiga kerja secara sampingan, antaranya perniagaan online. Di rumah, anda bekerja pula untuk menguruskan rumah tangga.
Senario ini sememangnya bagus namun keadaan akan menjadi sebaliknya apabila isteri terpaksa berusaha mencari duit lebih berbanding suami hingga mengakibatkan tekanan dan bebanan. Sekali gus menjejaskan hubungan suami isteri. Apa pun jangan mudah menyalahkan pasangan, tapi teruskan menghormatinya dan berbincanglah secara berhemah.
Tetap Menghargai Usaha Suami
Walaupun anda pencari nafkah utama dalam rumah tangga, elakkan meremehkan tugas suami. Mungkin jasanya tidak sebesar anda tetapi dia tetap ketua keluarga. Hargai penat lelahnya di rumah menjaga anak-anak. Hormati dan didik anak-anak untuk turut menghormati suami sebagai ketua keluarga. Minta pandangan suami dahulu sebelum anda membuat sebarang keputusan demi menjaga maruahnya.
Kaji Keperluan
Jika anda sudah berusaha tetapi belanja tetap tidak mencukupi dan anda fikir suami dapat mengubahnya maka berbincanglah baik-baik. Usulkan bagaimana suami dapat mengubah caranya berfikir hingga dia memperoleh pekerjaan yang lebih baik. Lakukan ini dengan bijak, jangan sesekali bertengkar atau menyinggung perasaannya. Ajak suami untuk menilai keperluan rumah tangga dan minta pandangannya bagaimana ia dapat diperbaiki.
Minta Nasihat Ibu Bapa
Jika anda sudah berusaha untuk berbincang dengan suami namun tiada perhatian dan tindakan yang serius, mintalah pandangan daripada ibu bapanya. Mungkin suami akan lebih mendengar nasihat mereka. Tetapi, jangan sesekali mendesaknya dan menambahkan lagi masalah ini. Biarkan suami menyedari sendiri hal itu setelah anda atau ibu bapanya berbincang bersama.
Tapi, bagaimana jika masih tak dapat mengubahnya?
Jangan Putus Asa
Usahakan sendiri untuk mencari jalan penyelesaian. Berdoalah agar suami sedar dan memahami kesulitan anda. Jangan memaksa kehendak anda, bersabar dan percayalah jika dirinya benar-benar mencintai anda, dia akan mencari jalan keluar dan tidak akan membiarkan anda berjuang bersendirian.
Tetap Mencintai Dirinya
Peliharalah cinta di saat-saat anda menghadapi kesulitan kewangan dan sebagainya. Tiada yang lebih bermanfaat dalam rumah tangga selain hubungan yang harmoni antara suami isteri. Usah mudah menyerah kalah ketika menghadapi kesulitan. Tekad untuk menegakkan bahtera kehidupan bersama apatah lagi adanya anak-anak yang akan menguatkan lagi keputusan anda untuk mempertahankan perkahwinan.
Iman
Kehidupan yang berlandaskan agama akan membantu pasangan suami isteri dalam mengatasi kesulitan hidup tidak kira dalam soal kewangan mahupun apa sahaja. Sandarkan perkahwinan anda kepada Yang Maha Esa agar menjadi lebih sabar dan tawakal. Sedarlah, tiada masalah yang tidak dapat diatasi jika anda bersandarkan kepada Allah SWT.