Menangis Sampai Biru Dan Hampir Tidak Bernafas Tanda Breath Holding Spells

Breath Holding Spells

Apakah Breath Holding Spell?

Breath-holding spell ( BHS) adalah suatu keadaan dramatik di mana seseorang kanak-kanak kelihatan seperti berhenti bernafas dan seterusnya kelihatan pucat dan biru. Dalam sesetengah kes, kanak–kanak tersebut mungkin akan menahan nafas sehingga pengsan.

Breath-holding spell adalah satu tindakbalas yang tidak disengajakan (involuntary reflex) dan selalunya kanak-kanak tersebut akan kembali bernafas seperti biasa dalam masa kurang daripada 1 minit. Ia adalah suatu tindakbalas terhadap sesuatu insiden yang mencetuskan emosi seperti perasaan takut, marah,sakit dan terkejut.Walaupun breath-holding spell suatu situasi yang boleh mencemaskan ibu-bapa, ia tidak mengancam nyawa dan tiada kesan jangka masa panjang.

Breath-holding spell boleh berlaku dalam kanak-kanak yang sihat dalam lingkungan umur 6 bulan ke 6 tahun tetapi ia paling kerap berlaku dalam lingkungan umur 2 tahun.Ia juga lebih kerap berlaku dalam kanak-kanak yang mempunyai ahli keluarga yang juga mengalami Breath-holding spell,kanak-kanak yang mengalami masalah genetik seperti Rett Syndrome dan juga kanak-kanak yang mengalami anemia disebabkan kekurangan zat besi.

Apakah simptom Breath Holding Spell?

Breath-holding spell selalunya berlaku apabila seseorang kanak-kanak secara tiba-tiba mengalami cetusan emosi seperti marah atau terkejut.Kanak-kanak tersebut akan menangis dan seterusnya menahan nafas dan ini boleh menyebabkan kulitnya menjadi pucat atau biru.Ada juga kanak-kanak yang boleh pengsan atau kurang sedar dan mengalami sawan.Setelah pengsan untuk jangkamasa yang pendek (selalunya kurang dari 1 minit),kanak-kanak tersebut akan kembali bernafas seperti biasa.Breath-holding spell boleh juga berlaku beberapa kali dalam sehari

Apakah yang perlu dilakukan oleh ibu-bapa semasa kanak-kanak mengalami Breath Holding Spell?

  • Sekiranya seseorang kanak-kanak mengalami  breath-holding spell,adalah penting bagi ibu-bapa untuk tidak panik dan mengambil langkah-langkah berikut:
  • Pastikan tiada makanan atau objek dalam mulut kanak-kanak yang boleh menyebabkannya tercekik semasa dia menahan nafas
  • Alihkan kanak-kanak tersebut dalam posisi mengiring
  • Alihkan objek-objek disekeliling yang boleh membahayakan kanak-kanak sekiranya dia mengalami sawan
  • Sekiranya kanak-kanak tidak kembali bernafas seperti biasa selepas 1 minit, bantuan kecemasan perlu diberikan
  • Video anak penulis – SARA 1 tahun 2 bulan selepas serangan Breath Holding :

Bilakah kanak-kanak yang mengalami Breath Holding Spells perlu dibawa berjumpa doktor?

Sekiranya seseorang kanak-kanak itu mengalami breath-holding spell buat pertama kali dia perlu diperiksa oleh doktor bagi memastikan tiada masalah kesihatan lain yang menyebabkannya berhenti  bernafas seperti penyakit sawan, masalah jantung dan kekurangan zat besi(Iron Deficiency Anemia.Selain daripada itu, seseorang kanak-kanak itu perlu diperiksa oleh doktor sekiranya dia mengalami breath-holding spell yang semakin kerap atau untuk jangkamasa yang lama.Ibu-bapa perlu mendapatkan bantuan kecemasan sekiranya kanak-kanak berhenti bernafas (lebih daripada 1 minit), susah bernafas atau megalami sawan lebih daripada 1 minit

Apakah Rawatan Bagi Breath Holding Spell?

Tiada rawatan yang diperlukan bagi breath-holding spell tetapi sekiranya ada anemia disebabkan kekurangan zat besi, ia perlu diberikan rawatan yang sepatutnya dengan tambahan zat besi.Setelah diagnosa breath-holding spell diberikan oleh doktor, adalah penting bagi ibu-bapa mengambil langkah-langkah berikut:

  • Setelah berlakunya breath-holding spell, elakkan daripada memberikan terlalu banyak tumpuan kepada kanak-kanak tersebut kerana ia akan menggalakkan lagi perlakuan yang menyebabkan breath-holding spell (positive reinforcement)
  • Cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan situasi/perlakuan yang boleh menyebabkan breath-holding spell

Bagaimana membezakan antara Breath Holding Spell dengan Penyakit Sawan (Epilepsi)?

Breath-holding spell selalunya mempunyai penyebab ataupun ”trigger” manakala  sawan yang disebabkan epilepsy boleh berlaku secara spontan.Ujian Electroencephalogram(EEG) biasanya menunjukkan tanda-tanda sawan dalam penyakit epilepsi manakala  EEG dalam breath-holding spell tidak menunjukkan ciri-ciri sawan

Gambar di bawah adalah contoh rawatan EEG di mana pesakit akan dipasang 27 wayar bagi membaca gelombang pada otak. Prosedur ini mengambil masa 2 jam dan ianya tidak menyakitkan.

Untuk anak Puan Aida Mustafa ini, SARA 1 tahun 2 bulan, Sara tidak mempunyai sebarang bacaan abnormal atau gelombang sawan. Ujian echo atau jantung juga normal. Hanya perlu monitor keadaan anak serta mengelakkan anak daripada menangis yang boleh membawa kepada BHS. Dalam perkataan lainnya….ibu memang perlu mengawasi anak selalu dan kenalpasti faktor yang boleh membuat anak terkena BHS

Prognosis

Kebanyakan kanak-kanak akan berhenti daripada mengalami breath-holding spell dalam lingkungan umur 4 ke 8 tahun.Kanak-kanak yang mengalami sawan kerana breath-holding spell tidak mempunyai risiko penyakit sawan(epilepsi) yang lebih tinggi berbanding dengan kanak-kanak yang lain.

Sumber : Portal MyHealth

Pengalaman Peribadi Puan Aida Mustafa

Kembali ke Atas