Dalam keseronokan kita menyambut kedatangan Syawal iaitu bulan kembali kepada fitrah, jangan kita lupa yang bulan ini boleh menjadi pengukur sama ada Ramadan yang berlalu memberi kesan atau tidak dalam jiwa kita.
Antara amalan sunat yang menjadi rebutan para solihin dalam Syawal adalah puasa enam.
Puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari dalam bulan Syawal. Ia lebih afdal dikerjakan secara berturut-turut di awal bulan Syawal iaitu bermula dari 2 Syawal. Bagaimanapun, ia boleh juga dikerjakan secara berselang-seli sepanjang Syawal.
Tentang puasa enam, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)
Puasa enam ini adalah antara kayu pengukur tahap takwa seseorang itu selepas kejayaan melaksana puasa sebulan sepanjang Ramadan. Hakikatnya bukan mudah berpuasa dalam keadaan orang lain bebas makan minum hidangan yang enak-enak sepanjang Aidilfitri ini.
Sebab itu, Allah memberi ganjaran yang besar kepada mereka yang berjaya melepasi ‘ujian’ ini.
Mengerjakan puasa sunat enam Syawal di samping mengerjakan puasa fardu Ramadan diibaratkan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan 10 kali ganda.
Ini dijelaskan oleh sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Berpuasa sebulan (di bulan Ramadan itu disamakan) dengan 10 bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.” (Riwayat Al-Nasaie).
Namun, dilema yang dihadapi oleh sebahagian besar kita adalah bagaimana ‘menguruskan’ jemputan rumah terbuka terutama jika jemputannya dikhususkan sebelah siang.
Puasa untuk mendekatkan diri dengan Allah (hablum minallah) manakala memenuhi jemputan pula adalah menjaga hubungan sesama manusia (hablum minannas).
Perlu diingat bahawa berpuasa bukanlah alasan untuk tidak memenuhi jemputan. Ibnu Umar r.a misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa. Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan maka hendaklah dia memenuhinya. Jika dia sedang berpuasa maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa maka hendaklah dia makan.” (Riwayat Muslim).
Orang yang diundang sedangkan dia berpuasa, tidaklah diwajibkan menjamah makanan yang dihidangkan. Jika puasanya itu adalah puasa fardu, misalnya puasa qada Ramadan atau puasa nazar maka haram baginya untuk berbuka.
Cukuplah baginya menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan ke atasnya mendoakan keberkatan serta keampunan dan sebagainya ke atas tuan rumah dan para hadirin.
Adapun jika ia puasa sunat, dibolehkan baginya berbuka. Bahkan adalah sunat baginya berbuka jika tuan rumah itu merasa tersinggung jika dia tidak memakan makanan yang dihidangkannya. Nabi SAW bersabda kepada seorang lelaki yang bermaksud: “Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah-payah untuk kamu.” Kemudian baginda bersabda lagi kepadanya: “Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.” (Riwayat al-Baihaqi)
Justeru, dicadangkan supaya majlis rumah terbuka diadakan bermula pukul 3 petang hingga waktu malam. Ini membolehkan semua pihak diraikan dalam suasana lebih harmoni.