Kuasa Sentuhan Pada Kulit Bayi

Kulit Bayi Anda & Kuasa Sentuhan
Deria sentuhan ialah deria paling penting bagi manusia. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mendapat lebih kemesraan dan kasih sayang daripada ibu mereka dalam bentuk sentuhan fizikal cenderung bersikap lebih berdaya tahan terhadap tekanan, kekecewaan dan penderitaan.

Dalam rahim, kulit merupakan organ deria janin pertama yang berkembang dan deria paling matang semasa dilahirkan. Malah, seawal 6 minggu selepas konsepsi, apabila panjang bayi baharu 3 sm, janin memberi tindak balas kepada rangsangan kulitnya yang baharu terbentuk. Ini berlaku lebih awal sebelum mata dan telinga bayi terbentuk. Selama 9 bulan sebelum dilahirkan, bayi dibedung dalam rahim ibu yang selamat – oleh sebab itulah bayi baharu lahir dibedung ketat menggunakan kain untuk mewujudkan semula rasa hangat dan selamat.

Memahami struktur dan fungsi kulit dapat membantu kita lebih menghargai kepentingan sentuhan. Kulit merupakan organ terbesar tubuh dan fungsinya termasuk

(i) melindungi tubuh daripada bahan iritasi, alergen, bakteria dan cahaya ultraviolet (UV)

(ii) mengawal suhu tubuh

(iii) pengalaman merasa sentuhan, kesakitan, suhu

(iv) membuang hasil sisa melalui peluh

(v) penghasilan vitamin D.

Tahukah anda?

Kulit bayi anda berbeza daripada kulit orang dewasa dan akan terus berkembang sepanjang tahun pertama kehidupannya. Kulit bayi adalah 30% lebih nipis daripada kulit orang dewasa. Selain kurang matang, kulit bayi lebih cepat kehilangan air, lebih rentan kepada persekitaran dan lebih sensitif kepada cahaya matahari. Struktur kulit bayi membuat ia lebih cenderung kepada iritasi, jangkitan dan alergi berbanding kulit orang dewasa.
perbezaan-kulit-bayi-kulit-dewasa

Kepentingan sentuhan
Tiga tahun pertama kehidupan adalah kritikal bagi perkembangan otak bayi. Perkembangan otak bergantung kepada jenis rangsangan yang diberi kepada bayi melalui deria sentuhan, pendengaran, penglihatan dan menghidu. Dalam artikel ini kita akan fokus kepada impak sentuhan yang sangat bernilai kepada perkembangan bayi.

Beberapa kajian telah menunjukkan kepentingan sentuhan kulit ke kulit bagi perkembangan bayi yang sedang membesar. Sentuhan didapati memberi faedah seperti mengeratkan kasih sayang ibu dan bayi, kepuasan ibu bapa, dan persekitaran rumah yang lebih baik.

Sentuhan kuit ke kulit ibu dan bayi juga terbukti dapat mengurangkan kesakitan bayi baharu lahir. Sentuhan juga terbukti memberi impak ketara terhadap penyusuan susu ibu, paras gula dalam darah selepas kelahiran, dan bayi yang menangis. Malah, bayi yang dilahirkan pra matang juga mendapat impak positif daripada sentuhan – bayi yang mengalami sentuhan kulit ke kulit (“penjagaan kanggaru”) semasa menyusu menunjukkan penambahbaikan ketara dalam perkembangan sistem sarafnya.

Merangsang bayi anda melalui sentuhan:
Sebagai ibu bapa, anda mungkin tertanya-tanya: Apakah cara terbaik untuk merangsang perkembangan bayi saya melalui sentuhan? Bayi sangat gemarkan hubungan fizikal yang rapat bersama ibu bapa atau pengasuh – mereka hidup dengan kasih sayang. Cara mudah untuk menenangkan bayi dengan cepat ialah dengan mendukung dan membuainya. Memeluk, membelai, memegang dan membuai semuanya penting kepada bayi anda. Gerak isyarat sayang yang mudah seperti membelai rambut atau belakang mereka semasa mendukung bukan sahaja menyampaikan kasih sayang anda, tetapi juga menenang, memberi keselesaan dan keyakinan kepada mereka. Selain itu, terdapat dua amalan harian yang memberi peluang untuk merangsang deria sentuhan bayi anda– mandi dan urutan.

Mandi:
Ketika mandi, bayi bukan sahaja menikmati sentuhan sayang ibu bapa atau pengasuh, tetapi juga air suam dan buih di dalam besen mandi. Apabila digabungkan dengan nyanyian dan percakapan kepada bayi (merangsang perkembangan pendengaran dan bahasa), membuat hubungan mata (merangsang penglihatan) dan mengguna pencuci bauan ringan (merangsang deria hidu) – akan memberi impak positif terhadap perkembangan bayi.
Urutan:
Urutan bayi diamalkan di seluruh dunia dan sains telah menunjukkan faedahnya untuk perkembangan yang sihat. Melalui urutan, sentuhan lembut yang penuh dengan kasih sayang membantu menggalakkan peningkatan perkembangan sosial, kognitif emosi dan perkembangan fizikal. Urutan diketahui mempunyai faedah fizikal dan emosi.

Faedah fizikal termasuk berat badan bayi bertambah lebih cepat memandangkan urutan memperbaiki pencernaan dan penyerapan dengan merangsang hormon gastrousus dan juga melegakan sembelit dan kolik bayi. Memperbaiki kualiti dan tempoh tidur merupakan satu lagi faedah fizikal.

Faedah emosi urutan ialah bayi menjadi lebih sosial – bayi yang diurut lebih cenderung menyambut orang dengan lebih hubungan mata, mencapai, senyum dan lebih vokal. Bayi yang diurut lebih riang kerana sentuhan mengurangan tangisan dan meragam.

Tahukah Anda?

Apabila mengurut bayi, anda boleh menggunakan minyak atau losyen. Ini membantu mengurangkan geseran pada kulit bayi yang halus semasa mengurut dan juga melembapkan kulit mereka.
Apabila menggunakan minyak untuk mengurut, pilih “minyak bayi” yang diformulasikan selamat, ringan dan berkesan untuk kulit bayi. Elak daripada mnggunakan minyak masak (minyak zaitun atau bijan) kerana kandungan asid oleiknya tinggi dan boleh merosakkan kulit bayi yang halus serta menyebabkan masalah kulit.
Urutan bayi tanpa minyak atau losyen boleh juga dilakukan.
Terdapat banyak peluang untuk anda menjadikan sentuhan sebahagian penting dalam kehidupan bayi anda. Malah, urutan merupakan komunikasi tanpa lisan paling mudah untuk menyampaikan kasih sayang, keselamatan dan keyakinan. Jadikan sentuhan sebahagian penting dalam amalan harian bayi anda seperti mandi dan memberi urutan. Detik-detik istimewa semasa bayi anda sedang membesar ini bukan sahaja memberi kesan terhadap perkembangan fizikal, emosi dan mental tetapi juga menempa satu ikatan teguh bersama keluarga. Oleh itu, lain kali anda bersama bayi anda lebih banyaklah menyentuh, memegang dan memeluknya.

Sumber : Persatuan Pediatrik Malaysia.

Kembali ke Atas