Amalkan Diet Eat CleanUntuk Kurus, Memang Berkesan Untuk Dapatkan Bentuk Badan Idaman!

Amalkan Diet Eat Clean Untuk Kurus, Memang Berkesan Untuk Dapatkan Bentuk Badan Idaman!

Apabila berat badan sudah berlebihan, baru tersentak mahu mengawal pemakanan. Ada yang mahu kurus dengan menyekat pengambilan nasi, ada yang mengamalkan diet protein dan tidak kurang juga yang menyekat semua makanan masuk ke dalam tubuh.
Ramai wanita mahu mengamalkan Eat Clean dalam mencapai matlamat untuk kurus dengan segera. Namun, dalam era kemodenan yang serba pantas, besar cabarannya kalau nak amalkan pemakanan yang sihat.
Budaya Eat Clean sedang trending di kalangan netizen dan mula dipopularkan di Amerika Syarikat oleh seorang Pakar Diet, Tosca Reno. Walau bagaimanapun, konsep Eat Clean ini bukan sesuatu yang baru dan bukan merupakan konsep diet tetapi lebih kepada tabiat pemakanan sihat.

Eat clean adalah konsep memilih variasi makanan yang lebih sihat dalam setiap kumpulan makanan dan mengelakkan makanan yang tinggi kandungan lemak, tinggi gula, tinggi garam serta makanan diproses.
Amalan Eat Clean ini juga merangkumi makan makanan seimbang, pelbagai dan sederhana juga merangkumi kelima-lima kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia.

Ini bermakna Eat Clean adalah amalan makan secara sihat untuk mendapat gabungan nutrien penting dan tenaga dengan sempurna untuk melakukan aktiviti harian. Tiada satu pun jenis makanan dapat memberi kesemua tenaga, nutrien dan komponen makanan yang kita perlukan.

Setiap kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia mempunyai perbezaan daripada segi fungsi dan kebaikan. Dalam amalan Eat Clean, pemilihan makanan yang lebih sihat diutamakan dalam setiap kumpulan makanan. Antara amalan Eat Clean adalah:

  1. Pemilihan karbohidrat kompleks dan produk berasaskan bijirin penuh daripada karbohidrat ringkas.
  2. Pengambilan dua sajian buah-buahan dan tiga sajian sayur-sayuran sehari.
  3. Pengambilan sumber protein dengan cara masakan yang lebih sihat tanpa penggunaan minyak yang banyak.

  1. Pengambilan makanan dalam kuantiti yang sederhana berdasarkan kepada saiz hidangan yang disarankan untuk setiap kumpulan makanan.
  2. Tidak mengambil makanan yang tinggi kalori, lemak, garam dan gula. Terdapat banyak makanan yang tinggi kalori tetapi rendah kandungan nutrien yang lain.
  3. Tidak mengambil makanan yang diproses tetapi lebih kepada pengambilan makanan yang segar atau menggunakan cara masakan yang lebih sihat seperti panggang, stim, rebus dan bakar.
  4. Eat Clean boleh diamalkan oleh semua orang pada setiap peringkat umur kerana ia adalah lebih kepada amalan makan secara sihat. Jadi, tidak semestinya wanita sahaja yang perlu mengamalkan Eat Clean.
  5. Walau bagaimanapun, apabila seseorang wanita mengamalkan Eat Clean, secara tidak langsung, wanita itu boleh juga memainkan peranan untuk menanam tabiat gaya hidup sihat kepada keluarga terutama anak-anak sejak kecil. Contohnya melalui penyediaan hidangan yang berkhasiat kepada keluarga.

Eat clean atau makan secara sihat ini adalah kunci kepada pengekalan berat badan yang sihat dan pencegahan penyakit berkaitan pemakanan. Ia juga berkesan menurunkan berat badan dengan konsisten dan berkekalan.
Lebih berat badan atau obes akan memberi kesan kepada beberapa buah organ dalaman dan bahagian badan anda, seterusnya memberi kesan negatif dalam jangka masa panjang.


Eat Clean tidak mempunyai keburukan. Tetapi, masyarakat perlu diingatkan, formula untuk kekal sihat adalah pengimbangan antara amalan makan secara sihat dan aktiviti fizikal. Kedua-dua perkara ini adalah sama penting.
Jadi walaupun mengamalkan Eat Clean, masyarakat masih perlu mengamalkan senaman atau aktiviti fizikal sebaik-baiknya setiap hari, sekurang-kurangnya 30 minit. Tidak ada jalan pintas untuk menjadi sihat, semua orang sama ada muda atau tua, harus mengamalkan tabiat makan secara sihat dan gaya hidup yang aktif setiap hari.
Memang tidak dinafikan ada segelintir wanita yang obses dengan Eat Clean. Ini mungkin kerana mereka terlalu ingin cepat kurus sehingga mereka lupa ini bukanlah sesuatu yang hanya dilakukan untuk mendapat berat badan yang ideal.
Tetapi, ia adalah tabiat makan secara sihat yang perlu diamalkan secara berterusan untuk kekal sihat dan salah satu langkah pencegahan penyakit-penyakit tidak berjangkit (diabetes, darah tinggi dan sakit jantung).
Eat Clean boleh diamalkan oleh semua orang walaupun mempunyai penyakit seperti diabetes, jantung dan darah tinggi.

Secara ringkas, amalan yang ditekankan dalam Eat Clean iaitu pengambilan karbohidrat kompleks dan pengurangan makanan yang tinggi gula seperti minuman manis adalah bersesuaian dengan amalan diet yang patut diamalkan oleh pesakit diabetes.
Tidak mengambil makanan yang tinggi kandungan garam pula adalah sesuai dengan pesakit darah tinggi dan tidak mengambil makanan yang tinggi lemak baik untuk pesakit jantung. Walau bagaimanapun, pesakit perlu mendapatkan Khidmat Runding Cara Pemakanan yang tepat daripada doktor atau pakar pemakanan.

Sumber : NONA

Kembali ke Atas