Benarkah Stok Susu Terlalu Banyak Dan Berlebihan Juga Boleh Jejas Kesihatan Emosi Ibu

Seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang hadir ke klinik dengan wajah sugul. Seolah-olah tidak cukup tidur dan kelihatan sangat penat. Beliau memberitahu bahawa beliau sememangnya tidak cukup tidur kerana terpaksa mengepam dan mengosongkan payudaranya hampir setiap jam kerana mudah dipenuhi susu. Sekiranya tidak berbuat demikian, beliau akan mengalami bengkak susu yang akan menyukarkan lagi keadaan. Peti ais di rumahnya sudah dipenuhi dengan berpaket-paket susu perahan ibu. Menambahkan kesulitan beliau dengan limpahan susu adalah bayinya mengalami ‘keliru puting’ dan enggan menyusu badan dengannya.

Ibu seolah-olah berputus asa dengan keadaan ini dan ingin memberhentikan penyusuan susu ibu kepada bayinya agar beliau kembali bermaya. Melihat kepada situasi di atas, dikurniakan susu ibu yang melimpah ruah adalah dambaan setiap ibu yang menyusu. Ramai orang beranggapan bahawa ibu yang dianugerahkan susu ibu yang banyak adalah orang yang sangat beruntung kerana mempunyai bekalan yang cukup untuk si manja mereka bagi merealisasikan penyusuan eksklusif selama 6 bulan. Tetapi adakah mereka ini bertuah atau sebaliknya?

 

Apabila seseorang mengalami limpahan susu ibu yang banyak di mana payudara mudah dipenuhi semula walau baharu sahaja dikosongkan, keadaan ini dinamakan lebihan susu atau istilah Bahasa Inggerisnya ‘oversupply’. Dalam terma perubatan, ini dinamakan sebagai hypergalactia atau hyperlactation yang bermaksud keadaan  di mana terdapat lebihan susu ibu yang melebihi keperluan tumbesaran bayi yang sihat. Walau bagaimanapun, tiada definisi yang tepat yang dapat menggambarkan keadaan ini.

Dianggarkan secara purata bayi yang sihat memerlukan susu ibu sebanyak 450- 1200 ml susu sehari. Sekiranya penghasilan susu ibu yang melebihi jumlah ini, ibu berkemungkinan besar mengalami masalah lebihan susu atau hiperlaktasi.

Mengapa keadaan ini terjadi?

Secara fisiologinya, susu ibu mula terbentuk sejak semester kedua kehamilan. Namun susu ibu tidak kelihatan kerana dikawal oleh hormon-hormon yang menyokong kehamilan. Apabila bayi dilahirkan, cetusan laktasi akan berlaku agar susu ibu dikeluarkan apabila mendapat ransangan hisapan daripada bayi.

Penghasilan susu ibu dipengaruhi oleh beberapa faktor. Antaranya adalah :

  • Jumlah tisu kelenjar payudara ibu
  • Kadar pengembangan tisu alveolar payudara ibu
  • Kekerapan mengosongkan payudara
  • Rangkaian penyusuan ‘neuroendokrin’ yang rumit

Selain itu juga, terdapat teori mengatakan kemungkinan terdapat bahan-bahan kimia otak (neuroendokrin) yang menghalang tindak balas  ‘Feedback Inhibitor lactation (FIL)’ iaitu satu bahan di dalam susu ibu yang mampu merencat penghasilan susu ibu yang baharu sekiranya payudara tidak dikosongkan.

Pengosongan payudara secara kerap melalui perahan tangan atau mengepam menggunakan mesin juga boleh menjadi punca kepada keadaan ini. Penghasilan susu yang baharu akan terhasil apabila payudara kerap dikosongkan.

Di samping itu juga, pengambilan ubatan penggalak susu atau makanan bersifat penggalak susu yang berlebihan seperti halba, lobak putih, pegaga dan lain-lain juga boleh menyebabkan masalah ini. Apabila ibu mengambil bahan penggalak susu, maka susu akan dihasilkan lebih banyak dan memenuhi payudara.

Tanda-tanda ibu mengalami lebihan susu ibu

Tanda-tanda lebihan susu ibu bukan sahaja berlaku kepada si ibu malah bayi juga boleh mengalami perubahan.

Berikut adalah tanda-tanda lebihan susu:

Tanda pada ibu  Tanda pada bayi
Pembesaran payudara ketika hamil melebihi saiz 2 ‘cup’ (contoh A ke C) Peningkatan berat badan yang berlebihan
Payudara yang sentiasa penuh dan kerap dipenuhi susu Kesukaran bayi mendapat atau mengekalkan lekapan yang baik
Kesakitan payudara dan puting Bersifat ‘cerewet’ ketika penyusuan
Susu menitik-nitik terlampau banyak apabila payudara penuh Bayi sering tersedak, batuk atau melepaskan payudara ketika menyusu
Duktus tersumbat dan jangkitan mastitis berulang kali Ketidakselesaan perut seperti kembung perut, refluks dan letusan najis berwarna hijau

Komplikasi hiperlaktasi

Ibu yang mengalami hiperlaktasi ini mungkin akan berasa tertekan untuk meneruskan penyusuan susu ibu secara eksklusif dan mereka dikatakan lebih cenderung menghentikan penyusuan. Ini adalah kerana kekerapan masa yang diambil untuk mengosongkan payudara menyebakan ibu tidak dapat berehat secukupnya di samping perlu menanggung kesakitan akibat payudara yang dipenuhi susu dalam tempoh yang singkat. Kekerapan mendapat duktus kelenjar susu yang tersumbat dan jangkitan payudara mungkin menyebabkan ibu berasa tidak berbaloi untuk meneruskan penyusuan.

Selain itu, kebanyakan ibu yang mengalami masalah ini kurang mendapat sokongan daripada orang sekeliling kerana beranggapan mereka sememangnya bertuah mempunyai susu yang banyak untuk bayi mereka.  Tambahan pula, bekalan susu perahan yang terlampau banyak mungkin mendatangkan masalah penyimpanan dan kos kerana terpaksa membeli peti sejuk yang baru.

 

Rawatan

Sekiranya ibu mengalami masalah ini, mereka harus berjumpa dengan kaunselor laktasi atau perunding laktasi yang berpengalaman bagi membantu mereka. Mereka akan membantu ibu untuk memberikan nasihat dan langkah terbaik untuk mengatasi masalah ini. Kebanyakan langkah yang disarankan adalah untuk mengurangkan penghasilan susu yang berlebihan di samping mengekalkan penyusuan yang mencukupi untuk bayi. Berikut adalah saranan yang boleh diberikan:

  1. Ibu perlu mengelakkan memakan makanan yang bersifat ‘penggalak susu’. Hal ini kerana penghasilan susu mungkin akan bertambah banyak dan memburukkan keadaan.
  2. Penyusuan pada sebelah payudara sahaja pada setiap sesi penyusuan. Jika bayi menyusu hanya pada sebelah payudara sahaja, susu pada payudara sebelah lagi akan terkumpul begitu lama membolehkan penghasilan susu baharu dapat direncat.
  3. Ibu juga digalakkan menyusu secara ‘uphill’ di mana ia membantu bayi menghisap susu dengan lebih baik dengan bantuan gravity (Rujuk gambarajah 1)
  4. Mengurangkan dan menjarakkan sesi pemerahan susu. Sekiranya susu penuh dalam masa yang singkat, maka ibu boleh memerah sekadar untuk melegakan kesakitan akibat payudara yang penuh.
  5. Ibu juga boleh memikirkan alternatif lain seperti menjadi ibu susuan kepada bayi lain dengan menyumbangkan susu perahan yang berlebihan.

Posisi penyusuan ‘uphill’

Sekiranya keadaan masih berlarutan, ibu haruslah berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan lanjut. Preskripsi ubatan yang boleh mengurangkan penghasilan susu akan diberikan dan merupakan langkah terakhir bagi membantu ibu.

Sumber : MMgazette 

Kredit Gambar : Mumsgrapevine 

Dr Nurjasmine Aida Jamani

Pakar Perubatan Keluarga/ Perunding Laktasi (IBCLC) IIUM

Kembali ke Atas