Singkir Parut Luka & Jerawat Dengan Cara Murah, Mudah

Singkir Parut Luka & Jerawat Dengan Cara Murah, Mudah

Parut biasanya terbentuk melalui proses penyembuhan luka di bahagian kulit, ini termasuk parut jerawat, parut kesan luka, parut akibat pembedahan ataupun parut daripada kesan terkena minyak panas dan kesan kebakaran.

Parut mengambil masa yang lama untuk hilang sepenuhnya malah ada juga parut yang akan terus kekal di bahagian kulit terutamanya parut bersaiz besar seperti parut pembedahan atau kebakaran. Bagi wanita yang mementingkan kecantikan, parut pada kulit akibat luka memang tidak menyenangkan.

Mereka yang mempunyai wang, akan memilih untuk ke klinik perubatan atau melakukan pembedahan kecantikan bagi menghilangkan parut. Namun kos rawatan bagi pembedahan kecantikan biasanya agak tinggi. Pastinya mereka akan memilih untuk menghilangkan parut dengan cara yang murah dan berkesan. Ikuti beberapa tip di bawah sebagai panduan untuk anda menghilangkan parut dengan cara murah dan mudah.

Minyak Kelapa

Lebih mujarab jika anda gunakan minyak kelapa dara atau lebih dikenali VCO. Sapukan pada parut dan dibiarkan begitu sahaja. Amalkan sehingga parut hilang. Jika kulit anda jenis berminyak, elok jangan guna cara ini. Takut nanti semakin banyak jerawat yang tumbuh.Cara ini hanya sesuai untuk mereka yang berkulit kering.

Sapuan Gula Tebu Organik

Anda boleh buat sendiri sapuan gula ini dengan menggunakan gula tebu organik asli yang boleh dibeli di pasar raya. Campurkan gula tersebut dengan minyak zaitun dara dan lumatkan supaya menjadi seperti losen. Titik sedikit jus lemon supaya ia basah sedikit. Sapu atau lurut pada parut dan biarkan selama 15 minit kemudian basuh dengan air bersih.

Jus Ubi Kentang

Potong nipis ubi kentang. Sapu pada parut dan urut dengan kepingan kentang nipis tadi perlahan-lahan. Biarkan selama 15 minit sebelum membasuh dengan air bersih. Buat sekali sehari sudah memadai.

Madu Asli

Ambil sedikit madu dan calit pada parut. Urut perlahan-lahan. Biarkan kering. Kemudian baharulah cuci dengan air suam.

Timun

Hiris nipis kepingan timun dan urut pada kawasan parut perlahan-lahan. Amalkan selalu dan lihatlah hasilnya.

Kayu Manis

Tumbuk atau kisar sedikit kayu manis sehingga menjadi serbuk. Tambahkan dengan sedikit air kemudian sapukan pada bahagian kulit yang berparut. Untuk hasil yang lebih berkesan, tambahkan sedikit bedak sejuk.

Kacang Hijau

Kisar kacang hijau sehingga menjadi serbuk. Campurkan dengan sedikit air dan sapukan ke kawasan kulit yang berparut. Amalkan setiap hari untuk melihat hasilnya. Serbuk kacang hijau ini juga boleh dijadikan masker untuk merawat kulit wajah berjerawat.

Lidah Buaya

Anda hanya perlu sapukan lendir daun lidah buaya pada bahagian kulit berparut. Biarkan hingga kering sebelum dicuci dengan air suam. Amalkan setiap hari.

Sumber : IMPIANA

Kembali ke Atas