Suami Jangan Leka Beri Nafkah Kepada Isteri Bekerja
Suami Jangan Leka Beri Nafkah Kepada Isteri Bekerja
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu ialah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.” – Surah al-Nisa’ ayat 34.
Islam menetapkan bahawa suami sebagai ketua keluarga. Apabila disebut sebagai ketua maka jelas bahawa seorang suami bertanggungjawab atas segalanya. Makan minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan segala yang terangkum sebagai satu keperluan bagi isteri dan juga satu perkara sampingan tetapi menjadi perkara utama apabila dilakukan demi suami tercinta seperti rawatan kecantikan dan solekan.
Malahan, sekiranya suami seorang yang mampu tetapi masih mengizinkan isterinya bekerja, suami sewajarnya menanggung segala kos ulang alik si isteri ketika bekerja. Segala pendapatan isteri pula ialah hak mutlak si isteri dan suami, sekiranya berkehendakkan hasil pendapatan isteri bagi membantunya menanggung perbelanjaan rumah tangga adalah dikira sebagai berhutang dengan si isteri.
Cuma, demi kerukunan rumah tangga malahan di dalam era yang kian mencabar ini, memang satu bonus dan satu keperluan bagi sesetengah individu untuk si isteri bekerja bagi membantu meringankan tanggungan suami. Membantu meringankan bebanan dan tanggungan suami bukan bererti suami terlepas daripada tanggungjawab. Membantu juga bermaksud bukan isteri sebagai tonggak utama sebaliknya si suami. Hanya apabila pendapatan suami tidak mencukupi selepas suami telah peruntukkan untuk keperluan, bukan untuk hobi atau perkara tidak perlu dahulu, maka si isteri wajar membantu dengan menambah kadar yang tidak mencukupi sahaja.
Membantu bukan bermaksud segala perbelanjaan keperluan rumah tangga dibahagi sama banyak dan isteri diarah membiayai sebahagian daripadanya. Itu prinsip bantuan dan perkongsian yang salah. Bagi seorang lelaki yang betul-betul ada harga diri, beliau akan berusaha dengan sedaya upaya bagi memenuhi segala keperluan isteri, anak-anak dan keperluan rumah tangga tanpa mengharapkan hasil pendapatan isteri.
Namun, berapa ramai lelaki yang sanggup melakukan sedemikian? Kebanyakan suami mendabik dada; “Duit aku duit aku, duit isteri pun duit aku juga sebab aku ni suami, isteri kena ikut kata aku. Sebab aku suami, aku bagi izin isteri kerja, duit isteri duit aku juga lah.” Kalau berdepan dengan kes sebegini, rujuklah ke mahkamah syariah dan dapatkan perintah nafkah. Ya! Nafkah boleh diperintahkan walaupun belum berlaku perceraian.
Menyebut tentang hasil pendapatan isteri, buat para isteri yang bekerja, memang tidak salah membantu meringankan beban suami tetapi jangan terlalu membiasakan suami dibantu sewenang-wenangnya. Hasil pendapatan isteri ialah hak isteri yang mutlak, bebas membelanjakan sewenangnya hatta untuk membeli barang kemas selori pun adalah tidak salah.
Secara logiknya, sudah tentulah isteri ingin membantu suami kerana suami ialah insan yang dicintai. Tidak salah membantu tetapi ada batasan. Walaupun tidak semua tetapi kebanyakannya para suami yang sentiasa ditolong ini akan mudah lupa diri. Rasa bebas bernafas sikit, terus segala tugas yang patutnya dipikul oleh suami diserah bulat-bulat kepada isteri. Suami pula, mula memasang strategi untuk menubuhkan ‘cawangan’ terkini.
Satu perkara lagi, peringatan kepada para isteri, jangan sekali-kali menyerahkan segala hasil pendapatan anda kepada suami. Pendapatan anda itu ialah hak anda sepenuhnya. Sekiranya ingin membantu, berikan sekadar yang perlu sahaja. Biasakan juga menyimpan segala resit perbelanjaan yang anda keluarkan bagi membantu suami menguruskan rumah tangga. Sebabnya, kita tidak tahu apa yang bakal terjadi di belakang hari.
Bukan meminta atau mendoakan tetapi tidak salah jika bersedia menghadapi segala kemungkinan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Mungkin kita yakin kasih suami sepanjang hayat tetapi dalam sesaat, segala-galanya boleh berubah. Lantas beringatlah, jangan apabila sudah terhantuk baru nak tengadah.
Oleh: Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie
Sumber : Pesona Pengantin