Banglo Datuk Chef Wan Curah Kreativiti Menghias Pada Kediaman Mewah Ini

Banglo Datuk Chef Wan Curah Kreativiti Menghias Pada Kediaman Mewah Ini

Bertamu ke kediaman mewah milik Datuk Chef Wan yang terletak di Garden Residence Cyberjaya ini mencetuskan inspirasi.
Banglo tiga tingkat yang dilengkapi dengan kemudahan lif menambahkan lagi keterujaan kami untuk meneroka ke segenap ruang hunian yang baharu didiami ini.

Rona lembut melatari segenap ruang banglo tiga tingkat ini. Penulis cukup teruja dengan idea dekorasi yang diilhamkan sendiri olehnya. Masih terasa keempukan fabrik Baker Sofa yang dihasilkan khas dari New York bagi melengkapi ruang tamu bernuansa elegan.

Kreatif
Biarpun di luar sana aura Datuk Chef Wan tidak boleh dinafikan lagi namun ketika mendekatinya secara dekat, beliau juga begitu menitikberatkan nilai privasi.
Buktinya, setiap ruang kediaman punya kisahnya yang tersendiri seiring dengan momen-momen kembara yang turut diadaptasi dalam setiap sentuhan dekorasi.
Kebanyakan barangan perhiasan yang dipamerkan melambangkan sebahagian daripada negara-negara yang pernah beliau kunjungi. Antaranya ialah pasu, pinggan mangkuk serta perabot.

Benarlah, Datuk Che Wan seorang yang cukup istimewa serta unik kerana selain pakar dalam masakan beliau juga seorang yang kreatif dalam berbagai bidang termasuklah dekorasi. Ternyata, kreativiti beliau tidak terbatas. Itulah yang dinamakan anugerah dari Ilahi yang mungkin tidak dimiliki oleh orang lain.
“When your life is hectic and often surrounded by endless people, I always take comfort to escape and be on my own to kind of unwind yourself, and find peace and tranquility,” ungkap Datuk Chef Wan.

Maka, sebab itulah Datuk Chef Wan mencurahkan sepenuh idea untuk interior kediamannya kali ini biarpun terpaksa mengambil tempoh masa yang agak panjang untuk disiapkan sepenuhnya.

Ruang Privasi

Sudut privasi serta menjadi kegemaran Datuk Chef Wan untuk beristirehat ialah ruang televisyen. Di sini beliau dapat bersendirian tanpa gangguan. Sementara untuk tetamu mahupun saudara mara yang berkunjung, mereka disediakan ruang khas di tingkat bawah.
Namun begitu, Datuk Chef Wan tidak pernah melupakan tanggungjawab terhadap ibu tercinta. Sebuah kamar indah disediakan dilengkapi dengan dekorasi bernuansa klasik buat ratu hatinya itu.
Datuk Chef Wan menjadikan ibunya iaitu Noraini Abdullah sebagai tulang belakang dan sumber inspirasi untuk berjaya dalam kehidupan.
Beliau juga sentiasa mengenang pengorbanan serta keperitan ibunya dalam membesarkan tujuh orang anak. Sejak kecil lagi Datuk Chef Wan belajar erti kepayahan hidup yang menjadi pencetus semangat buat beliau untuk merubah kehidupan.

Sumber : Nona

Kembali ke Atas