MALAYSIA #QuranHour Mendapat Sambutan Menggalakkan

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) — Masjid dan surau di seluruh negara sekali lagi bergema dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sempena program Malaysia #QuranHour hari ini.

Edisi ketiga program itu yang diadakan pada 10 hari terakhir Ramadan, sekali lagi mendapat sambutan menggalakkan dan sokongan padu masyarakat Islam di seluruh negara yang bersatu hati menjayakan program itu yang berlangsung selama sejam bermula 12 tengah hari tadi.

Bertemakan ‘Bangsa Berbudi & Penyayang’, program itu yang diadakan secara besar-besaran di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, turut dianjurkan di beberapa lokasi di negeri-negeri seluruh negara.

Ia dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Kumpulan Media Karangkraf dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenan berangkat menyertai kira-kira 5,000 orang yang berkumpul di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk menjayakan program itu.
Sementara itu, lebih 200 kakitangan dan penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA) meluangkan masa membaca ayat-ayat suci Al-Quran sempena program itu diadakan di Masjid Haji Ahmad Shah, di kampus universiti berkenaan di Gombak di sini.

Turut mengambil bahagian ialah perpustakaan awam seluruh negara yang menganjurkan program #MalaysiaNgaji bersempena Malaysia #QuranHour yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat Islam termasuk pelajar sekolah.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Datuk Nafisah Ahmad berkata program kali kedua itu, yang mensasarkan satu juta peserta, diadakan bagi mengukuhkan budaya membaca Al-Quran itu
Seramai 739,645 peserta mengambil bahagian dalam program itu pada penganjuran pertamanya pada 29 Jun tahun lepas, katanya di sini.

Di PAHANG, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Nik Ibrahim Nik Abdullah berkata hampir 2,000 masjid dan surau di seluruh Pahang menyertai Malaysia #QuranHour.

Beliau berkata pihaknya telah memaklumkan kepada 604 masjid dan 1,372 surau di seluruh negeri itu bagi bersama-sama membaca ayat suci Al-Quran.

Di NEGERI SEMBILAN, lebih 1,000 peserta menyertai program Malaysia #QuranHour 2017 peringkat negeri yang diadakan di Kompleks Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.

Pengerusi Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Seremban Gharizah Hashim berkata program itu turut disertai kakitangan dan mahasiswa USIM, golongan muallaf, wakil Orang Asli dan Orang Kurang Upaya (OKU) buta dan bisu.

Beliau berkata program Malaysia #QuranHour itu juga diadakan di masjid-masjid di negeri itu, Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Balai Undang Luak Johol serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah dan Seremban 3.

Di PERAK, Sekurang-kurangnya 10,000 individu terdiri dikalangan rakyat negeri ini terlibat dalam program Malaysia #QuranHour yang berlangsung di seluruh Perak, hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak Datin Normah Hanum Ibrahim berkata peserta terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan, sektor swasta, badan korporat, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar.

“Kita gembira kerana sambutan yang diberikan semua pihak amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui semasa perasmian program Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.

Beliau berkata program Malaysia #QuranHour yang pertama berlangsung di Masjid Kampung Melayu Sungai Rapat tahun lepas.

Di PERLIS, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man menyarankan umat Islam mengamalkan tabiat membaca al-Quran sepanjang masa, bukan hanya pada bulan Ramadan atau hari-hari tertentu sahaja.

Berucap merasmikan pelancaran program #MalaysiaNgaji sempena Malaysia #QuranHour peringkat negeri anjuran bersama Perpustakaan Awam Negeri Perlis dan Jabatan Mufti Perlis di Masjid Alwi di sini, hari ini, beliau

LIKE Pamapedia DI SINI 

Kembali ke Atas